Motosikal

DUCATI MULTISTRADA V2 S 2025 DIUMUMKAN – 115HP, 92NM

Ducati World Premiere 2025 melabuhkan tirai dengan episod terakhir berjudul “Unlock Everyday Adventure” menyaksikan pelancaran Ducati Multistrada V2/V2 S generasi terbaru. 

Selepas pelancaran Ducati Panigale V2 dan Streetfighter V2 di EICMA awal November lalu, kilang Borgo Panigale memperkembang tawaran motosikal bernadikan enjin V2 890cc tanpa Desmo serba baharu dengan Mutlistrada V2/V2 S. 

Enjin

Platform V2 890cc yang tidak lagi mengguna pakai injap Desmodromic merupakan langkah rasional dari Ducati bagi memenuhi permintaan orang ramai. Meskipun injap Desmo yang menjadi ikonik pada mesin Ducati tidak lagi digunakan namun penggunaan platform V-Twin sudah cukup mengekalkan imej jenama itu. 

Untuk rekod, enjin V2 890cc ini lebih kompak dan ringan berbanding platform Testastretta atau Panigale V2 sebelum ini. Bukan itu sahaja, kos selenggara dan penjagaan juga lebih rendah selain kuasa dihasilkan lebih ‘terkawal’ dengan 115hp pada 10,750rpm (turun 5hp berbanding Panigale V2 dan Streetfighter V2) dan 92Nm pada 8,250rpm. 

Selain itu, Ducati juga menjelaskan bahawa enjin terbaru ini berupaya menjana 70 peratus tork maksimum sebawal 3,500rpm dan dari situ sehingga 11,000rpm tidak pernah turun bawah dari 75 peratus tork. Namun lebih menarik enjin ini hanya seberat 55kg. 

Casis dan suspensi

Menurut Ducati, casis Multistrada V2 S ini lebih kurus dan menawarkan kedudukan menunggang yang lebih sesuai ditambah dengan ketinggian tempat duduk yang hanya 830mm. Sementara itu, varian V2 S dilengkapi dengan suspensi Ducati Skyhook yang akan menurunkan ketinggian tempat duduk sebaik berhenti.  

Jarak antara tayar 1572mm juga menawarkan keluasan tempat duduk yang selesa bagi penunggang dan pembonceng. Pengadang angin boleh laras juga menyumbang kepada tahap keselesaan yang lebih baik. 

Pakej brek pula dikendalikan Brembo yang dipadankan bersama cakera 320mm depan dengan kaliper 4-pot dan cakera 265mm belakang dengan kaliper 2-pot. Cornering ABS juga didatangkan secara standard dan boleh diakses menerusi panel meter TFT 5-inci. 

Elektronik

Multistrada V2 S adir dengan lima mod menunggang; Sport, Touring, Urban, Enduro dan Wet. Menerusi mod ini, penunggang juga bole menyelaraskan cornering ABS, traction control, wheelie control dan engine brake control. 

Selain itu, motosikal ini turut dilengkapi dengan cruise control secara standard dan fungsi Coming Home yang akan menyalakan lampu ‘low beam’ sebaik motosikal dimatikan sekaligus menyalakan bahagian hadapan ketika memasuki rumah. 

GALERI: DUCATI MULTISTRADA V2 S 2025

Google ads
Back to top button