Buletin

JUALAN VOLVO CAR MALAYSIA MENINGKAT 43 PERATUS PADA TAHUN LALU, PERTUMBUHAN JUALAN KUKUH 7 TAHUN BERTURUT-TURUT

Volvo Car Malaysia mengakhiri tahun 2022 dengan rekod jualan kesemua model kenderaan sebanyak 3,194, meningkat sebanyak 43 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pencapaian tersebut mengukuhkan pertumbuhan jualan tujuh tahun berturut-turut buat Volvo Car Malaysia. Pada bulan Disember, Volvo Car Malaysia berjaya mencatatkan jualan sebanyak 395 unit, rekod tertinggi dari bulan ke bulan.

Antara faktor pertumbuhan jualan dipacu oleh pelancaran dua buah kenderaan elektrik yang dipasang secara tempatan iaitu Volvo XC40 Recharge Pure Electric dan Volvo C40 Recharge Pure Electric.

Pelanggan tidak menunggu lama untuk menempah keluaran terbaru Volvo apabila lebih daripada 100 Volvo C40 Recharge Pure Electric telah ditempah dalam tempoh 10 hari sejak pelancarannya pada 14 Disember 2022. Sebegitu juga dengan model Volvo XC40 Recharge Pure Electric, mendapat sambutan hangat dari pelanggan.

Kedua-dua model tersebut dipasang di kilang pembuatan Volvo di Shah Alam dan merupakan dua model kenderaan elektrik pemasangan tempatan pertama yang dijual di Malaysia. Volvo Car Malaysia juga merancang agar 75 peratus daripada jualannya datang daripada rangkaian Recharge Pure Electric menjelang tahun 2025.

Dalam pada masa yang sama, Volvo Car Malaysia terus komited untuk mencapai kemampanan di peringkat global dan sedang merangka untuk menjadi syarikat kenderaan elektrik sepenuhnya menjelang tahun 2030.

Di peringkat global, Volvo Cars telah merekodkan jualan sebanyak 615,121 pada tahun lalu meskipun berhadapan dengan cabaran kekurangan rantaian bekalan serta sekatan pengeluaran akibat kekurangan komponen dan penutupan gara-gara Covid-19.

Cabaran tersebut tidak mengurangkan permintaan untuk kenderaan-kenderaan Volvo dengan jualan barisan Recharge berkuasa hibrid Pure Electric dan Plug-in Hibrid mencecah 43.8 peratus pada 22 Disember 2022.

Pada bulan yang sama, kereta elektrik sepenuhnya Volvo telah menyumbang 20.1 peratus daripada jualan global.

Google ads
Back to top button