KARIER SUPERKIP BELUM BERAKHIR. PERLU CATAT KEPUTUSAN POSITIF BAKI 4 PERLUMBAAN
Pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi (KIP) perlu meraih keputusan positif dalam baki empat perlumbaan Kejuaraan MotoGP Dunia bagi meneruskan karier permotorannya pada musim hadapan.
Prinsipal pasukan Petronas Sprinta Racing Datuk Razlan Razali menegaskan pihaknya bersedia untuk menghulurkan bantuan kewangan kepada pelumba berusia 22 tahun itu untuk kembali beraksi pada Kejuaraan Eropah FIM CEV Moto2 pada musim hadapan, sekiranya bangkit meraih kutipan mata dalam baki empat perlumbaan berkenaan.
Razlan menjelaskan keputusan untuk tidak melanjutkan kontrak KIP bersama Petronas Sprinta Racing diambil selepas pelumba itu gagal meraih sebarang mata atau menampilkan prestasi memberangsangkan dalam lapan perlumbaan yang disertainya pada musim ini.
“Dorna Sports menetapkan pada minggu lalu sebagai tarikh akhir untuk menamakan barisan pelumba untuk MotoGP pada musim hadapan. Kita tidak mahu tunggu sehingga hujung musim ini untuk menamakan pelumba,” katanya pada sidang media secara maya bersama media tempatan menerusi aplikasi Google Hangouts, hari ini.
Dorna Sports merupakan pemegang hak eksklusif komersial dan televisyen MotoGP. KIP pernah menyertai Kejuaraan Remaja Dunia FIM CEV pada 2015 yang menyaksikan beliau menduduki tangga keenam keseluruhan.
Baki empat perlumbaan MotoGP pada musim ini adalah GP Teruel di Litar Aragon, Sepanyol pada 23-25 Okt, GP Eropah (6-8 Nov) dan GP Valencia di Litar Ricardo Tormo, Sepanyol (13-15 Nov), serta GP Portugal di Litar Antarabangsa Algarve dari 20-22 Nov 2020.
Dalam satu kenyataan semalam, Petronas Sprinta Racing mengambil keputusan untuk tidak melanjutkan kontrak KIP pada musim depan selepas gagal menyinar dalam saingan Moto3 pada musim ini.
Tempat beliau diisi oleh pelumba dari Afrika Selatan, Darryn Binder daripada pasukan CIP Green Power bagi saingan Moto3 pada musim hadapan menerusi kontrak setahun.
KIP menyertai Petronas Sprinta Racing daripada pasukan Idemitsu Honda Team Asia pada musim lepas. Sepanjang empat musim bersama pasukan lamanya, KIP memenangi GP Argentina serta GP Jerman dalam saingan Moto3 pada 2016.
Mengulas mengenai situasi sukar yang dialami oleh KIP, pelumba pasukan One XOX TKKR SAG, Azlan Shah Kamaruzaman mengakui sokongan dan motivasi daripada pasukan sangat penting dalam memastikan pelumba tidak hilang arah.
“Saya setuju, saya sendiri pun ketika dalam MotoGP tiada kekuatan mental, banyak benda yang saya tiada. Tetapi pelumba legenda merangkap pengurus pasukan (Honda Team Asia), Tadayuki Okada, ketika itu banyak memberi motivasi kepada saya dan gigih berlatih tunggangan bersama saya.
“Orang seperti ini perlu ada dalam MotoGP untuk melatih mental saya. KIP perlu diberikan semangat, bukan sahaja untuk membawa motosikal dengan laju tetapi bagi membina kekuatan mentalnya,” kata Azlan. – Bernama, Astro AWANI