Buletin

SUPER KIP UCAP SELAMAT TINGGAL PADA PASUKAN PETRONAS SRT

Pelumba Moto3 negara Khairul Idham Pawi akan meninggalkan pasukan Petronas Sprinta Racing Team (SRT) pada akhir musim ini selepas dua tahun bersama pasukan berkenaan.

Pelumba lebih dikenali sebagai Super KIP itu, memberitahu beliau menghargai tempoh dua tahun mewakili pasukan Petronas SRT walaupun berdepan pelbagai cabaran dan kecederaan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua dalam pasukan, kru dan rakan kongsi kerana telah membantu saya selama dua tahun, ketika susah dan senang. Saya mendoakan kejayaan pasukan pada masa akan datang, kerana mereka adalah orang-orang yang baik.

“Sudah tentu, saya mahu terus berlumba, jadi saya akan berusaha mencari pilihan terbaik dalam kerjaya perlumbaan saya.

“Saya akan berusaha yang terbaik untuk menunjukkan kemampuan saya lagi dan memberi penghargaan kepada semua peminat yang telah menyokong saya sejak dari awal. Terima kasih semua!” katanya dalam kenyataan di laman rasmi pasukan Petronas SRT.

Sementara itu, Prinsipal pasukan Datuk Razlan Razali berkata, keputusan telah dibuat bahawa satu haluan berbeza untuk kedua-dua pihak adalah satu keperluan buat masa ini.

“Walaupun menyedari bakat dan potensi KIP, ia jelas bahawa setelah dua tahun, kami tidak dapat mencapai sasaran yang ditetapkan bersama.

“Terbukti, kecederaan telah menjadi faktor dalam prestasi KIP selama dua musim terakhir, tetapi melihat kepada masa depan, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk membawa haluan masing-masing. Kami mendoakan KIP yang terbaik dalam kerjaya masa depannya,” katanya.

Google ads
Back to top button