Buletin

SUV COUPE GEELY XING YUE DILANCARKAN DI CHINA. 4 PILIHAN ENJIN, PENJIMATAN MINYAK 1.2L/100KM!

SUV sports coupe paling ditunggu-tunggu, Geely Xing Yue akhirnya dilancarkan secara rasmi di kemudahan produksi pertama Geely Auto.

Kilang itu dibina khas untuk menghasilkan kenderaan yang berasaskan kepada platform Compact Modular Architecture (CMA).

Xing Yue hadir dengan tiga pilihan rangkaian kuasa iaitu enjin pembakaran dalaman, mild hybrid dan plug-in hybrid, di samping pacuan dua atau empat roda.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Blue Geely di mana Geely komited untuk memasang sistem elektrifikasi pada kenderaannya, Xing Yue akan menjadi SUV coupe pertama yang hadir bersama pilihan PHEV.

Platform CMA

Geely Auto menggunakan sepenuhnya kejuruteraan CMA yang dibangunkan di Pusat Teknologi Kenderaan China Euro (CVET) di Gothenburg, Jerman. CMA menjadi asas kepada sistem pembangunan produk Industri Global 4.0 Geely.

Dengan CMA, Geely Auto akan melancarkan produk-produk global yang dapat memenuhi standard kenderaan mewah.  

“Geely sudahpun memasuki era pengilangan modular. Kami telahpun membangunkan empat seni bina kenderaan modular iaitu BMA, CMA, SPA dan PMA untuk kenderaan elektrik sepenuhnya.

“Teknologi ini akan menjadi pemacu buat Geely sebagai jenama bertaraf global,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Geely Holding Group serta Geely Auto, An Conghui.

Pilihan enjin 

Xing Yue dikuasakan oleh beberapa rangkaian kuasa. Antaranya ialah enjin empat selinder berkuasa tinggi 2.0TF yang dibina berasaskan kepada teknologi Volvo Car.

Enjin 2.0TD yang mematuhi piawaian paling ketat China dan Eropah itu berupaya menjana kuasa sehingga 238PS dan tork puncak 350Nm.  

Selain itu, Xing Yue juga didatangkan dengan pilihan rangkaian kuasa baharu. Ini termasuklah sistem mild hybrid dan plug-in hybrid (PHEV) yang menggunakan enjin 1.5TD serta dipadankan bersama kotak gear klac berkembar basah 7 kelajuan. Enjin 1.5TD dapat menyediakan kuasa 177PS dan tork maksimum 255Nm.

Versi PHEV pula ditawarkan dalam dua pilihan bateri lithium – kapasiti tinggi 11.3kwh dan versi lebih berkuasa 15.2kwh. Varian 11.3kwh boleh bergerak sejauh 56km dalam mode elektrik sepenuhya.

Penggunaan bahan api adalah sekitar 1.6L bagi setiap 100km dengan pengecasan pantas 90 minit.

Sementara versi kapasiti ultra tinggi pula menawarkan jarak motor elektrik sejauh 80km dengan penggunaan bahan api sekitar 1.2L bagi setiap 100km. Pengecasan pantas ialah selama 105 minit.

Sistem plug-in hybrid meningkatkan kuasa Xing Yue kepada 258PS dan tork maksimum 415Nm.

Pengesanan wajah

Model ini dipasang dengan sistem Face-ID yang akan mengubah suai tetapan kenderaan seperti posisi tempat duduk, cermin, sistem hiburan dan sebagainya berdasarkan kepada pengecaman wajah.

Sistem itu juga meningkatkan keselamatan dengan menilai dan memberi amaran apabila pemandu dikesan penat serta terganggu berdasarkan kepada ekspresi wajah, termasuklah kekerapan mengelipkan mata dan menguap.

Sama seperti model-model terbaharu Geely, Xing Yue didatangkan dengan Ekosistem Pintar GKUI Geely. Versi GKUI 2.0 ini hadir dengan antara muka, pengecaman suara dan navigasi yang lebih baik.

GKUI boleh diakses menerusi arahan suara, panel infohibur bersaiz 12.3 inci atau instrumen digital.

Sistem keselamatan pintar

Dari segi keselamatan, Xing Yue dilengkapi 22 alat pengesan di bahagian luarannya. Ini membolehkannya mencapai tahap L2 dalam pemanduan pintar yang terdiri daripada sistem-sistem seperti ICC Intelligent Cruise Control, TJA Traffic Jam Assistance, Full Speed ACC Adaptive Cruise Control, LKS Lane Keeping System dan sebagainya.

Urusan parkir juga lebih mudah dengan sistem bantuan parkir automatik APA yang dibangunkan oleh Bosch.

Ia mampu mengimbas ruang parkir dan memarkir Xing Yue dengan hanya menekan satu butang. Dengan sistem pengimejan panoramik 360° HD, memarkir kenderaan tidak pernah semudah ini.

Pemandu dihidangkan dengan sistem skrin HUD warna penuh yang memaparkan 9 jenis maklumat pemanduan berbeza. HUD itu akan mengubah suai tahap kecerahan bergantung kepada persekitaran.

Aspek keselamatan dipertingkatkan lagi dengan pelbagai ciri pintar seperti brek kecemasan automatik (AEB-P) bersama pengecaman pejalan kaki, amaran pelanggaran belajang (RCW), pengesan had kelajuan (SLIF), bantuan penukaran laluan (LCA), pengesan titik buta (BSD) dan banyak lagi.

Reka bentuk “The Moment”

Xing Yue mengadaptasi konsep rekaan “The Moment” yang mengambil inspirasi daripada momen dinamik dalam hidup dan alam sekitar. Jentera itu menggunakan lencana terbaru berwarna hitam Geely.

Gril hadapan diberi kemasan merah agar kelihatan lebih sporty. Dari arah sisi, SUV coupe ini jelas menampilkan rekaan sebuah fastback.

Memang patut Geely membawa masuk Xing Yue sebagai salah satu model tawaran ke pasaran Malaysia menerusi Proton. Tidak sabar rasanya…

Tags
Google ads
Back to top button