Artikel Pilihan

KENAPA BOS TOYOTA MAHUKAN TOYOTA GR YARIS, GEAR AUTO 8 KELAJUAN?

Sempena dengan Tokyo Auto Salon yang berlangsung pada minggu lepas, Toyota telah menghasilkan model Toyota GR Yaris yang telah dipertingkatkan. Ia bukannya model gimik untuk menarik perhatian pengunjung ke reruai Toyota, sebaliknya ia adalah model yang boleh dibeli terus daripada kilang Toyota

Antara pembaharuan yang diberikan pada model GR Yaris 2024 serba baru termasuklah:

1. Enjin yang lebih berkuasa – masih menggunakan enjin yang sama, kecuali enjin ini ditala untuk menjadi lebih berkuasa sama seperti yang digunakan oleh GR Corolla. Kuasa kuda meningkat daripada 268hp menjadi 300hp manaka tork pula bertambah daripada 370Nm menjadi 400Nm tork

2. Gear Automatik 8 kelajuan baru – adalah sangat janggal untuk menghasilkan kereta sport prestasi tinggi dengan gear automatik selain daripada gear DSG/DCT. Tapi Toyota memutuskan kereta istimewa ini perlu dikongsikan dengan generasi muda dan juga pemandu yang hanya mempunyai lesen automatik sahaja.

Transmisi ini dikenali dengan nama Gazoo Racing Direct Automatic Transmission memiliki beberapa ciri istimewa seperti:

-transmisi automatik dipilih kerana pengguna di Jepun menyukai kelancaran penukaran gear terutama ketika dalam kesesakan jalan. DSG/DCT pula akan berhadapan dengan masalah “jerking”

-bagi meningkatkan prestasi operasi dan memberikan rasa sporti, Gazoo Racing Direct Automatic Transmission menggunakan ratio yang rapat dan singkat

-penggunaan lock-up clutch dalam unit torque converter dimaksimumkan terutama pada gear rendah dan dalam keadaan memecut untuk memberikan rasa “direct” sama seperti gear manual.

– Terdapat rekaan baru solenoid untuk meningkatkan proses penukaran gear berlaku dengan lebih cepat. Torque converter juga menggunakan rekaan 2 unit klac dalam pembinaan bagi mempercepatkan proses penukaran gear

-Ciri Launch Control turut diperkenalkan pada varian automatik. Transmisi automatik juga direka untuk dimuatkan dalam GR Yaris, jadi ia direka dengan kompak dan berat varian auto hanya 20kg lebih berbanding dengan manual

– transmisi ini dihasilkan dengan kaedah “breaking & fixing” atau erti kata lain dihentam dalam keadaan paling teruk, supaya rosak dan kemudian dibetulkan semula oleh pasukan Toyota melalui Japanese Rally Championship, TOYOTA GAZOO Racing Rally Challenge, dan perlumbaan Super Taikyu Series

-menerusi kaedah ini, transmisi ini pernah jahanam sewaktu perlumbaan akibat kepanasan melampau. Bagi mengatasi masalah ini, sistem transmisi ini diberikan ATF Cooler bagi memastikan suhu transmisi berada dalam keadaan optimum

– bahan yang digunakan untuk menghasilkan klac juga dibuat daripada bahan yang tahan suhu tinggi selain diberikan ciri Torsen Limited Slip Differential

3. Ruang kabin diperbaiki – walaupun nampak agak retro, tapi semua kedudukan dan suis yang dipasang pada GR Yaris telah dipastikan untuk mudah dicapai walaupun menggunakan tali pinggang keledar 4 poin untuk perlumbaan

– cermin pandang belakang telah dinaikkan ke atas manakala kedudukan papan pemuka dan skrin multimedia direndahkan sebanyak 50mm. Keadaan ini membebaskan lebih banyak ruang pandang ke depan untuk penglihatan yang lebih baik

-kusyen direndahkan sebanyak 25mm bagi menjadikan pemandu lebih rapat dengan lantai, menjadikan pengalaman pemanduan lebih baik. ECU Airbag turut ditala semula untuk perubahan ketinggian ini.

-tombol gear dinaikkan sebanyak 75mm berbanding versi sebelumnya manakala penggunaan brek tangan dikekalkan. Bagi gear manual, tombol gear boleh diturunkan dengan menolak gear ke depan dan dinaikkan dengan menarik gear ke belakang, sama seperti dalam perlumbaan. Ia juga boleh dioperasikan dengan paddleshift

-meter digital sepenuhnya digunakan bagi menggantikan meter jarum termasuklah paparan suhu cecair ATF, suhu enjin, RPM, kedudukan gear, dan halaju semasa serta amaran bunyi bagi memastikan pemandu mendapat amaran biarpun memakai topi keselamatan perlumbaan

4. Bahagian luar yang baru – jeriji bawah dihasilkan daripada keluli nipis dan tahan lasak untuk bahagian depan. Beberapa komponen bampar depan dihasilkan dalam bahagian kecil memudahkan proses penggantian komponen dilakukan dengan mudah

– bukaan bampar depan lebih besar untuk ambilan udara sejuk serta sirip udara sisi untuk memudahkan udara panas keluar dari ATF cooler dan sub radiator

-lampu belakang disatukan dalam satu komponen, manakala brek ketiga diubah dari duduk tinggi berhampiran spoiler ke bawah untuk memudahkan kerja custom

5. Cesi diperkukuhkan – sebanyak 3 bolt ditambah kepada penyerap hentak berbanding 1 sebelum ini, mengurangkan masalah penjajaran lari semasa perlumbaan

-spot wleding ditambah 13% manakala sambungan yang menggunakan perekat ditambah sebanyak 24% bagi meningkatkan ketegaran cesi

6. 3 Mod Pemanduan – Mode pemanduan Sport, Normal dan Eco ditambah dalam GR Yaris bagi menala sistem stering bantuan elektrik, penyaman udara, dan juga sistem transmisi.

7. Mode Trek Perlumbaan – atau Circuit Mode boleh diaktifkan apabila GPS mengesan GR Yaris dipandu di dalam trek dengan mengubah beberapa parameter, menjadikan kereta lagi sedap dipandu. Sistem anti lag turbo diaktifkan, halaju maksima akan meningkat, dan kipas penyejuk akan dimaksimakan untuk sejukan enjin

8. Brek Tangan Menegak – khas untuk trim perlumbaan GR Yaris RC, dengan mengubah kedudukan brek tangan rapat ke roda stering untuk operasi lebih pantas dan lebih senang untuk digunakan.

Untuk rekod, GR Yaris Automatik boleh memecut 0-100km/jam dalam masa 5.1 saat berbanding dengan varian manual yang mengambil masa 5.06 saat. GR Yaris manual versi lama pula mengambil masa dalam 6 saat

Google ads
Back to top button