
KENAPA ROTOR BREK ADA LUBANG UDARA? UNTUK RINGAN DAN LAJU?
Ok cuba anda tengok rotor brek kereta anda di tayar depan. Melainkan anda memandu Perodua Viva, anda akan perasan yang sebenarnya rotor brek pada bahagian depan sebenarnya bukan dari jenis solid tapi terdiri daripada 2 lapisan dengan bahagian tengah berliang
Kalau anda nak tau, rotor brek ini dihasilkan secara kaedah besi tuang atau die-casting dimana cecair besi yang panas akan dimasukkan pada sand casting (acuan pasir). Acuan pasir ini sememangnya direka supaya apabila cecair besi menjadi sejuk nanti, ia akan membentuk liang udara atau rongga.
Mungkin anda fikir, mungkin ini salah satu kaedah pengeluar untuk menjimatkan kos pengeluaran atau menjadikan rotor brek semakin ringan. Senang la nak memecut nanti kan. Asas membrek ialah tenaga kinetik yang dihasilkan oleh kereta semasa bergerak akan ditukar menjadi haba semasa pad brek bergesel dengan rotor brek.

Semua brek yang digunakan dalam bidang automotif menggunakan prinsip yang hampir sama, tukarkan tenaga kinetik menjadi tenaga haba untuk berhenti melainkan kenderaan hibrid yang dilengkapi dengan sistem brek regeneratif. Dalam sistem ini, tenaga kinetik akan ditukar menjadi tenaga elektrik.
Jadi haba yang dihasilkan oleh geseran antara pad brek dan rotor brek ini mesti disingkirkan kepada alam sekitar secepat mungkin. Secanggih mana sekalipun brek atau sebagus mana brek menghentikan kereta anda, ia adalah sia-sia sekiranya ia gagal menyingkirkan haba kerana haba yang gagal disingkirkan ini akan berkumpul pada sistem brek
Ia boleh menyebabkan angkup brek menjadi panas, menyebabkan masalah metal fatigue pada angkup brek dan juga haba yang berlebihan akan memanaskan cecair hidraulik brek dan dalam kes yang ekstrim cecair hidraulik ini akan menjadi panas dan menggelegak

Sekiranya cecair hidraulik ini memerangkap wap air di dalam sistem brek (memang selalu terjadi, sebab itu anda kena salin cecair hidraulik brek semasa servis major), wap air ini akan mendidih menyebabkan masalah brek terasa kosong bila anda menekan pedal brek.
Haba ialah musuh kepada sistem brek automotif, produk sampingan yang mesti disingkirkan. Proses penyingkiran haba ini dilakukan dengan sejukan udara yang datang. Proses sejukan udara ini akan bertambah baik jika luas permukaan rotor brek bertambah dan ini menyebabkan liang udara ini sangat berguna dalam proses sejukan rotor brek
Sesetengah rotor brek prestasi tinggi direka dengan liang udara dibuat secara menegak atau dinamakan cross drilled. Kereta F1 yang canggih pun masih menggunakan aliran udara laju sebagai agen utama sejukan, cuma ia dibantu dengan corong udara khas untuk memberikan aliran udara yang lebih baik bagi sejukan brek
