
KENDERAAN SANGKUT BANJIR. 3 SAHABAT JALAN KAKI 12 JAM CARI BANTUAN
Seorang bapa dan anak lelakinya yang berusia 10 tahun berjaya di selamatkan di sebuah kawasan pedalaman di Australia selepas kenderaan dinaiki bersama tiga lagi sahabat terperangkap dalam banjir.
Menurut laporan BBC, selepas terperangkap, mereka menghabiskan satu malam di dalam kenderaan sebelum tiga sahabat itu berjalan kaki sejauh 50 km selama 12 jam menuju ke bandar terdekat, Mount Isa untuk mendapatkan bantuan.
Satu operasi menyelamat dilakukan selepas tiga individu tersebut tiba di balai polis dan memaklumkan mengenai keadaan lelaki dan anaknya.

Mereka juga berjaya menunjukkan lokasi bapa dan anak itu melalui peta.
Sebelum waktu senja, kru penyelamat helikopter menemukan bapa dan anak lelaki yang sedang duduk di atas bumbung kereta mereka.
Menurut pihak berkuasa, mereka berada dalam keadaan sihat dan tidak memerlukan sebarang rawatan perubatan.
“Mereka diterbangkan ke Lapangan Terbang Mount Isa,” jelas Perkhidmatan Penyelamat LifeFlight RACQ dalam satu kenyataan. – agensi