Motosikal

REMAJA BAWA MOTOSIKAL BAWAH 70CC SAHAJA MENJELANG 2025?

Golongan remaja berusia 16 hingga 20 tahun kemungkinan bakal menunggang motosikal di bawah 70cc sahaja menjelang tahun 2025.

Ia berikutan pihak polis telah mengemukakan cadangan kategori pelesenan baru bagi golongan remaja terbabit hanya menunggang motosikal di bawah 70cc menjelang 2025 kepada Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) dan Kementerian Pengangkutan.

 Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Superintendan Dr. Bakri Zainal Abidin berkata undang-undang baru perlu dipertimbangkan dalam lima tahun akan datang untuk kategori pelesenan baru khas buat remaja.

Katanya, mereka hanya boleh menunggang motosikal berkapasiti kecil atau elektrik berkuasa rendah.

Dalam rakaman audio Mesyuarat Agung Tahunan MKJR tahun lalu, Bakri menjelaskan, cadangan itu perlu memandangkan jumlah sangat tinggi nahas jalan raya dan kadar kematian dalam kalangan remaja menunggang kapcai atau motosikal berkuasa kecil sehingga 150cc.

“Setiap tahun tanpa gagal, penunggang motosikal berusia 16 hingga 20 tahun mencatatkan kadar kematian tertinggi berbanding kategori kumpulan umur lain untuk semua jenis kenderaan dan hampir tiada pengurangan ketara selama ini.”ujarnya.

Dengan kesukaran polis membendung amalan rempit di seluruh negara, beliau menyifatkan model kapcai yang dijual di pasaran “sebagai sumber yang mendorong kehancuran generasi muda, khasnya di kawasan pinggir bandar dan luar bandar”.

“Ia adalah jentera berkuasa. Saya beri contoh model popular dalam kalangan pemuda, model 150cc ‘Y Suku’ (Yamaha Y15ZR). Kapcai ini mampu mencapai kelajuan sehingga 160km/j.

“Daripada pelbagai ops yang dilakukan polis trafik di seluruh negara, kami dapati banyak jenis kapcai berbahaya kepada diri mereka dan pengguna jalan raya lain. Dan ‘Y Suku’ hanya satu daripada contoh itu,” katanya.

Bakri menambah menunggang dengan laju dan cuai ialah punca utama nahas.

Beliau memberitahu jika mempunyai kategori pemegang lesen baru, ia boleh menyelamatkan banyak nyawa.

“Ia akan memanfaatkan negara, jika kita mempunyai dasar jangka panjang bagi mengawal kumpulan sasaran 16 hingga 25 tahun dan membentuk budaya baru untuk mereka hanya menunggang motosikal berkuasa rendah,” ujarnya lagi.

Bakri berkata, kapcai sepatutnya menjadi pengangkutan selamat dari destinasi A ke B.

Cadangan berkenaan pernah dibangkitkan Persatuan Pengguna Pulau Pulau (CAP) pada tahun 2007.

Ia sekali lagi dicadangkan seorang ahli lembaga pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) dalam sebuah forum keselamatan motosikal di Perlis pada September 2019. – FMT

Google ads
Back to top button