Motosikal

SKUTER ADVENTURE YAMAHA BWS 125 2021 DILANCARKAN DI TAIWAN. INI ATAU HONDA ADV150?

Skuter dengan gayaan adventure kini dilihat semakin diterima ramai. Dimulakan oleh Honda dengan model X-ADV dan ADV150, Yamaha nampaknya tidak mahu ketinggalan dalam menawarkan produk berkenaan kepada pengguna di seluruh dunia. 

Baru-baru ini, Yamaha melancarkan skuter BWS 125 generasi terkini ke pasaran Taiwan. Sebagai pasaran yang sangat sukakan skuter, BWS 125 dijangka menerima maklum balas positif daripada peminatnya di sana. 

Sekali pandang, jentera itu sememangnya memiliki reka bentuk yang sangat unik, macam robot pun ada. Model tahun 2021 itu merupakan versi facelift BWS 125 yang turut dijual di pasaran lain dengan nama Yamaha Zuma. Perubahan yang diterima juga agak signifikan. 

Skuter itu telah dinaik taraf dari segi penampilan, ciri-ciri pada enjin dan hadir dengan spesifikasi lebih baik. Gayaan BWS 125 diserlahkan menerusi lampu berkembar jenis halogen projektor yang tidak simetrikal. Rekaan badannya pula semakin berkotak-kotak, dari hadapan hinggalah ke bahagian belakang. 

Yamaha Taiwan menyifatkannya sebagai jentera yang seronok untuk ditunggang. Pengeluar motosikal Jepun itu juga meningkatkan fungsi skuter berkenaan.

Misalnya, BWS 125 kini dipasang dengan rak pada bahagian atas lampu utama. Yamaha juga menawarkan pelbagai aksesori untuk menjadikan jentera itu semakin menarik. 

Menggunakan tayar yang lebar, jarak tanah dinaikkan bagi membolehkan BWS 125 dapat mengharung apa jua permukaan jalan dengan lebih mudah. 

Dari segi ciri-ciri kemudahan pula, Yamaha memberikan panel speedometer digital sepenuhnya dalam bentuk berkotak. Tidak ketinggalan, soket pengecas USB, brek cakera depan belakang dan ruang penyimpanan barang di bawah pelana yang luas. 

BWS 125 digerakkan oleh enjin selinder tunggal empat lejang yang dilengkapi sistem Blucore dan penyejukan cecair. Ia mampu menjana kuasa sehingga 9.8PS dan tork 9.9Nm.

Dengan tangki berkapasiti hanya 6 liter, ia mampu menawarkan penjimatan sekitar 47.8km bagi setiap liter petrol. 

Dengan semua penambahbaikan ini, Yamaha BWS 125 ditawarkan pada harga 86,800 dolar Taiwan (RM12,612) seunit. 

GALERI

Google ads
Back to top button