Motosikal

LORENZO BERI BAYANGAN AKHIRI KERJAYA MOTOGP BERSAMA HONDA

Juara Dunia tiga kali, Jorge Lorenzo menyatakan dia mahu mengakhiri kerjaya dalam perlumbaan kelas premier bersama pasukan Honda.

Pelumba berusia 31 tahun yang pernah bersaing dalam sembilan kempen dengan pasukan Yamaha dan dua kali bersama Ducati sebelum ini dilihat berada dalam posisi tidak menentu untuk musim 2019 apabila Ducati tidak mahu menyambung kontraknya.

Lorenzo mengakui sudah hampir terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kerjaya MotoGP, sebelum berjaya mendapat tempat dalam pasukan Honda pada saat-saat akhir. 

Rakan sepasukan Mar Marquez itu memberitahu beliau sudah melupakan sejarahnya bersama Ducati. “Saya tidak pernah berputus asa. Saya akan terus berusaha walaupun dalam masa yang sukar,” kata Lorenzo kepada Sky Italy. 

“Saya tidak kata akan menamatkan kerjaya dengan Honda, tetapi ia mungkin pasukan terakhir saya. Keputusan perlumbaan akan menjadi penentunya.

“Tetapi inilah niat saya. Saya sudah melupakan Ducati. Saya tahu apabila saya sukakan sesebuah jentera, letakkan di kedudukan yang betul dan saya boleh menang,” katanya lagi. 

Sebelum ini, Lorenzo ada menyatakan bahawa dia mahu menamatkan kerjaya sebagai seorang lagenda Ducati selepas menyertai pasukan tersebut pada tahun 2017. 

Lorenzo dan Marquez telah memenangi gelaran penunggang MotoGP sejak tahun 2012 dan dirujuk sebagai ‘pasukan impian’ Honda. 

Pelumba kelahiran Sepanyol itu menegaskan dia tidak kida dengan label begitu. Dia juga merasakan gabungan  rekod bersama Marquez tidaklah menjadi penentu kejayaan mereka. 

“Dari segi statistik, jelas bahawa kami ialah rakan sepasukan yang paling kuat dalam sejarah MotoGP.

Adakalanya anda boleh memenangi banyak gelaran kerana pertandingan tidak terlalu sengit. Tapi jika dinilai dari segi kelajuan dan bakat sebenar. kami jauh lebih kuat berbanding rekod. Ini realitinya,” kata Lorenzo. 

Dia terlepas ujian pra-musim di Litar Sepang baru-baru ini kerana mengalami retak scaphoid. Bagaimanapun Lorenzo dilapor lebih sihat daripada yang dijangka. 

Pada awal bulan lalu, Lorenzo tidak menganggap dirinya sebagai antara pelumba pilihan untuk gelaran 2019.   

Tags
Google ads
Back to top button