Buletin

KERETA LUMBA LE MANS MAZDA 254i DITEMUI DI JEPUN SELEPAS 35 TAHUN

Sebuah Mazda 254i yang dihasilkan khusus untuk perlumbaan Le Mans tahun 1982 telah ditemui kembali selepas uis menghilang selama 35 tahun. Mazda telah menyertai perlumbaan Le Mans 1982 dengan sepasang Mazda 254i yang unik. Kedua kereta tersebut bagaimanapun gagal menyerlah dan ramai menyangka yang ia telahpun dilupuskan.

Laman Japanese Nostalgic Car melaporkan yang kedua kereta tersebut telah dibawa pulang ke Jepun dan kemudiannya menyertai beberapa perlumbaan dalam siri JPSC. Kereta yang baru sahaja ditemui telah menyembunyikan identiti asalnya di bawah lapisan cat berwarna merah jambu manakala sebuah lagi 245i dicat dengan warna kuning dan telah musnah satu ketika dulu dalam perlumbaan di Fuji Speedway.

Hujung tahun lepas kereta berwarna merah jambu itu telah ditemui di satu daerah pedalaman Jepun yang identiti asalnya telah disahkan oleh Tachimoto-san, ketua mekanik Mazdaspeed pada ketika itu. Beliau mengesahkan identiti kereta tersebut berdasarkan sistem brek dan suspensi belakang. Beliau juga mendedahkan yang Mazdaspeed membagunkan kereta tersebut menggunakan casis model 253i yang lebih lama.

Pemeriksaan secara menyeluruh mendapati yang di bawah lapisan cat putih yang lebih baru, ia juga mempunyai lapisan cat yang berwarna emas dan merah jambu. Dan kini ia juga merupakan satu-satunya Mazda 254i yang masih wujud. Ia sebelumnya pernah dicat dengan warna hitam dan emas mengikut tema Jun sebelum diwarnakan dengan warna merah jambu untuk menyertai perlumbaan JPSC.

Isami Amemiya dari syarikat tuner terkenal Jepun, RE Amemiya baru-baru ini telah menguruskan penghantaran kereta tersebut ke syarikat Powercraft untuk proses restorasi atas permintaan Mazda. Ia dijangka akan kembali ke arena perlumbaan dalam kategori klasik selepas ini.

254i menggunakan enjin 13B rotor-berkembar yang mampu menghasilkan 296 hp kuasa. Tidak dapat dipastikan sama ada kereta tersebut masih menggunakan enjin asal ataupun tidak tetapi RE Amemiya dilaporkan akan bertanggungjawab membina kembali nadi kuasa untuk jentera unik ini.

Google ads
Back to top button