KERETA SUPER KEGEMARAN JEREMY CLARKSON IALAH…FERRARI 488 PISTA!
Jeremy Clarkson adalah tokoh terkenal di dalam dunia automotif. Beliau bersama Richard Hammond dan James May berjaya menjadikan dunia automotif suatu yang menghiburkan dan kerjaya jurnalis sebagai idaman ramai.
Pengaruh Jeremy Clarkson memang besar sehingga mempunyai anugerah sendiri iaitu Kereta Super Kegemaran Jeremy Clarkson.
Pada acara News International’s The Motors Awards 2019, Ferrari 488 Pista diumumkan sebagai Kereta Super Kegemaran Tahunan Jeremy Clarkson.
Anugerah ini mempunyai prestij tersendiri dan bukan calang-calang kerana ia adalah pilihan Jeremy Clarkson sendiri.
Selepas memandu Ferrari 488 Pista, Jeremy teruja dan dizahirkan melalui pengakuan beliau iaitu “Sangat mengujakan sehingga ia meninggalkan kebijaksanaan di dalam debu.”
Enjin 3.9 liter V8 turbo berkembar pada 488 Pista adalah hasil kejuruteraan cemerlang Ferrari dan diiktiraf sebagai Enjin Antarabangsa Tahunan sebanyak empat kali berturut-turut dari 2016 hingga 2019.
Enjin itu juga memenangi Anugerah Enjin Baharu Terbaik 2016 dan empat kali berturut-turut dianugerahkan Enjin Beprestasi Terbaik dari 2016 hingga 2019.
Lagi tentang Pista 488, Jeremy Clarkson memaklumkan “Pista adalah satu daripada kereta yang paling menyeronokkan, mengujakan, cantik dan memuaskan pernah dibina.
“Pista menjadikan kereta lain seperti dibina daripada lumut dan kulit kayu. Kereta ini hebat dan bukan setakat bagus atau cemerlang, ia lebih jauh daripada itu.”
Kenapa Jeremy Clarkson begitu menyukai Ferrari 488 Pista boleh difahami.
Kereta ini mempunyai pengaruh dan teknologi daripada perlumbaan 488 Challenge dan model lumba 488 GTE yang digunakan untuk pelbagai saingan di serata dunia.
488 GTE turut menjuarai kelas GTE Pro pada Perlumbaan 24 Jam Le Mans 2019.
Selain itu, Ferrari 488 GTE digunakan di dalam Kejuaraan Ketahanan Dunia (WEC) FIA dengan hasil memberangsangkan iaitu dua kali memenangi kategori pengeluar pada tahun 2016 dan 2017.
Jika ada yang berkenan dan mahu mencuba enjin V8 dengan sejumlah anugerah, Naza Italia pada April lalu melancarkan F8 Tributo yang berkongsi enjin 488 Pista dan boleh dimiliki pada harga RM1,068,000.
BACA: FERRARI SF90 STRADALE, AKHIRNYA FERRARI DENGAN ENJIN HIBRID PHEV
BACA: ENJIN 3.9L V8 FERRARI MENANG ANUGERAH ENJIN TAHUNAN (4 KALI BERTURUT-TURUT)
BACA: FERRARI MALAYSIA LANCAR F8 TRIBUTO. RM1,068,000 SAHAJA.