Buletin

KERETA TERBANG VOYAGER X2. TOP SPEED 130KM/J, TERBANG SELAMA 35 MINIT, KETINGGIAN MAKSIMUM 1,000 METER

XPeng AeroHT baru-baru ini mengumumkan bahawa mereka akan mengambil bahagian dalam pameran Gitex Global Technology yang berlangsung di Dubai pada 10 Oktober sehingga 14 Oktober.

Pameran Gitex Global Technology ialah acara tahunan yang akan menarik perhatian para inovator teknologi, peminat, peneraju industri global dan usahawan dari seluruh dunia.

Syarikat itu mendedahkan kereta terbang elektrik mereka, Voyager X2 akan dipamerkan di acara tersebut. Ia mendakwa jentera tersebut menggabungkan fungsi pesawat dan kereta, serta boleh berfungsi dengan baik di udara dan di darat.

Voyager X2 ialah pesawat multi-copter eVTOL generasi kelima. Ia boleh memuatkan dua penumpang, dikuasakan oleh bateri dan mempunyai lapan motor elektrik, lapan kipas. Menawarkan kelajuan tertinggi 130 km/j kereta tersebut mampu terbang selama 35 minit.

Kereta terbang itu mempunyai ketinggian penerbangan maksimum 1,000 meter dan dilengkapi dengan gear pendaratan jenis gelincir tetap.

Dibina untuk penerbangan altitud rendah, pesawat itu mampu melakukan penerbangan autonomi, selain boleh mendarat sendiri dengan pelbagai jenis sensor.

XPeng AeroHT juga akan menjalankan ujian penerbangan pengesahan pematuhan di Dubai. Pada pameran tersebut, pengunjung terpilih akan berpeluang merasai sendiri pengalaman menaiki kereta terbang berkenaan.

XPeng AeroHT dilihat terus membuat kemajuan dalam mencapai matlamatnya membina kereta terbang pertama di dunia. Syarikat itu telah berjanji untuk menghantar kereta terbang menjelang 2024. Sejak penubuhannya pada 2013, ia telah menjalankan lebih 15,000 sesi penerbangan.

Pada Julai, kilang percubaan pengeluaran XPeng AeroHT yang berpangkalan di Guangzhou mengendalikan ujian prestasi sebelum pengeluaran besar-besaran. Kilang tersebut turut mempunyai bangunan seperti pusat ujian kuasa, ujian kereta terbang dan dua bengkel pengeluaran percubaan.

Google ads
Back to top button