Artikel Pilihan

FUJI RABBIT – MOYANG SUBARU WRX YANG TIDAK DIKENALI RAMAI

Lama sebelum jentera rali berkuasa boxer turbo dan AWD dikeluarkan oleh Subaru, wujud sebuah kenderaan mobility kecil yang dinamakan Fuji Rabbit. Ia dihasilkan dari tahun 1946-68 dan merupakan skuter pertama dari Jepun yang membantu masyarakat bergerak pasca Perang Dunia.

Kekalahan Jepun dalam Perang Dunia membuatkan negara tersebut berada dalam kepayahan dan kenderaan kecil seperti skuter merupakan pilihan yang bijak untuk bergerak ke sana sini.

Fuji Rabbit dihasilkan oleh Nakajima Aircraft’s (syarikat asal Fuji Heavy Industries). Rekaan badannya berdasarkan kepakaran mereka dalam merekabentuk pesawat. Bukan itu sahaja, roda skuter ini juga sebenarnya diambil terus dari roda belakang pesawat pengebom Nakajima yang terkenal.

Nampak persamaan Rabbit dengan Vespa. Kedua-duanya adalah hasil kejuruteraan pesawat jadi sebab itulah rupa parasnya berbeza dari motosikal biasa. Bahkan sebenarnya Fuji Rabbit muncul 6 bulan lagi awal dari Vespa!

Rabbit berkembang sepanjang usianya dengan penambahan starter automatik dan panel badan yang diperbuat daripada polyethylene. Ia boleh dikatakan cukup sofistikated pada masa itu apatah lagi dengan transmisi automatik dan sistem suspensi pneumatik.

Bukan itu sahaja, Fuji Rabbit turut memegang rekod sebagai skuter pertama buatan Jepun yang mampu memecut melebihi kelajuan 100 km/j. Laju tu weh untuk sebuah skuter retro.

Saingan Fuji Rabbit ialah Mitsubishi Silver Pigeon dan diikuti oleh Honda Juno. Nampak tak betapa pentingnya skuter dalam era pasca perang.

Selepas berkhidmat untuk sekian lama dan ekonomi Jepun makin berkembang pasaran skuter semakin menurun dan bermulalah era kenderaan empat roda yang lebih selesa. Skuter digantikan dengan Kei-car ataupun kereta kecil Fuji turut mengorak langkah sama mengeluarkan kereta pertama mereka yang dinamakan Subaru 360.

Kredit www.japanesenostalgiccars.com dan wikipedia.

Google ads
Back to top button