KIA EV9 – SUV RAKSASA EV 6 TEMPAT DUDUK.
Dalam pasaran sekarang, sebenarnya tidak banyak penawaran SUV 3 baris tempat duduk yang dijual. Hanya Mercedes EQB dan EQS sahaja yang dijual dalam pasaran dengan kapasiti penumpang sehingga 7 orang. Model EQB dijual pada harga RM 339,000 manakala EQS pula datang dengan harga RM 623,000.
Jika anda masukan sebuah SUV elektrik yang lebih besar daripada EQB dan lebvih murah daripada EQS, mungkin Kia EV9 GT ini adalah jawapannya. Ia jauh lebih besar berbanding dengan EQB, dengan panjang mencapai 5015mm dan jarak antara roda ditetapkan pada 3100mm.
Malah ia datang dengan harga lagi murah, sekitar RM 375,000 bagi varian GT Line 6 tempat duduk, ia merupakan SUV segmen D yang cukup besar dan bergaya. Manakan tidak rekaan luarnya diilhamkan oleh Karim Habib, bekas jururekabentuk yang pernah berkhidmat di Mercedes Benz dan juga BMW
Berbeza dengan Peter Schereyer, Karim mengetengahkan idea BOLD FOR Nature dengan ciri Adventures, Rugged & Upright Stance sama seperti yang digunakan oleh Kia Telluride bagi pasaran Amerika
Rekaan depan juga unik, tidak seperti model Kia lain dengan penggunaan lampu Digital Pattern Light pada jeriji depan, Welcome Light yang memanjang (Tiger Eyeliner) dan juga lampu utama yang terdiri daripada gabungan lampu LED dinamakan sebagai Small Cube Projection Light.
Untuk bahagian sisi, semua varian menerima rim 21 inci GT Line, lampu belakang Star Map Signature Light dengan rekaan luarnya sekali imbas akan mengingatkan anda kepada Volvo XC90.
Sekiranya anda pernah memandu Kia Niro, rekaan dalaman EV9 adalah hampir sama kecuali ia direka dengan lebih premium dan mengekalkan rekaan imej Kia iaitu penggunaan 3 skrin yang digabungkan dalam satu unit.
2 skrin 12.3 inci (satu untuk multimedia dan sat untuk meter digital) digabungkan dengan satu skrin 5 inci khusus untuk penyaman udara.
Apa yang menarik ialah rekaan stering EV9, direka khusus untuk mengurangkan halangan pada paparan skrin ketika memandu. Ia direka mendatar di bahagian atas dan bawah, memudahkan pemandu melihat semua informasi berkenaan dengan kenderaan
Kia EV9 juga sarat dengan pelbagai teknologi terkini seperti cermin pandang belakang digital, cermin sisi digital dan sistem audio 14 pembesar suara daripada jenama Meridian yang boleh disambungkan menerusi aplikasi Apple Car Play dan Android Auto.
Tombol gear dipindahkan ke tiang stering sama seperti Hyundai Ioniq 6 bagi memberikan ruang simpanan yang besar di konsol tengah. Ciri brek anjakan regenratif 4 tetapan turut disediakan
Ciri cermin suria dan bumbung panaromik menghasilkan ruang yang nampak lebih luas untuk barisan kedua yang hanya menawarkan 2 tempat duduk. Di sini ciri mewah yang lain disediakan termasuklah kotak simpanan, dulang meletak barang dan corong penyaman udara dipasang di bahagian syiling.
Sekiranya Kia EV9 digunakan untuk membawa VIP, maka kusyen ini boleh ditetapkan dalam Relax Mode, kusyen depan dianjakkan dan cermin sisi boleh ditutup dengan menggunakan tirai.
Barisan ketiga boleh diakses dari tepi dengan menggunakan butang automatik, autaupun dari bahagian tengah. Terdapat 4 poin ISOFIX disediakan, poin pengecas telefon jenis C dan juga butang kawalan untuk mengubah kusyen penyandar barisan ke 3.
Ruang kargo adalah sekitar 330 liter dengan kapasiti 6 penumpang ataupun dibesarkan menjadi 830 liter sekiranya kusyen barisan ke 3 dilipat sepenuhnya. But depan ataupun frunk pula adalah sekitar 50 liter
Kia EV9 dibangunkan dengan menggunakan platform EV sepenuhnya, iaitu E-GMP dengan rekaan sistem 800 volt. Bateri ion Lithium menawarkan kapasiti sehingga 99.9kWh untuk jarak pemanduan sehingga 505km mengikut standard WLTP.
Semua varian datang dengan 2 motor elektrik yang menjana sehingga 380 kuasa kuda dan 700Nm tork, membolehkan Kia EV9 memecut 0-100km/jam dalam masa 5.5 saat dengan halaju tertinggi dihadkan pada 200km/jam.
Pengecasan normal 11kW AC mengambil masa 10.5 jam untuk memenuhkan bateri dari 0% ke 100%, dipendekkan kepada 24 minit sahaja jika menggunakan sistem DCFC 350kW untuk mengecas dari 10% ke 80%.
Berdasarkan pengalaman penulis, Kia EV9 mengambil masa selama 1.5 jam untuk mengecas dari 39% kepada 79% dengan menggunakan sistem DCFC 47kW. Bagi sistem 150kW pula, ia hanya memerlukan masa sekitar 17 minit untuk mengecas dari 49% ke 72%.
Terdapat 3 mod pemanduan yang disediakan samaada ECO, Normal ataupun Sport. EV9 juga menawarkan 3 Terrain Mode untuk melalui permukaan jalan yang sukar termasuklah ciri Hill Decent Control.
Sama seperti EV yang lain, keselesaan pemanduan adalah berdasarkan kepada kekuatan brek regeneratif. Semakin tinggi nilai brek regeneratif digunakan, semakin kurang selesa perjalanan. Namun bagi menjimatkan tenaga, anda boleh menetapkan penyaman udara hanya pada pemandu sahaja jika memandu seorang diri
Walaupun besar, Kia EV9 adalah senang untuk diparkir dengan ciri AutoPark tetapi sayangnya ia tiada ciri kamera 540 darjah. Dengan berat mencecah 2674kg dan juga kelegaan permukaan jalan mencapai 177mm, Kia EV9 masih lagi selesa untuk dipandu berbanding dengan BMW iX40 ataupun iX50
Malah tetapan spring dan penyerap hentak boleh dikatakan agak seimbang antara pengendalian dan keselesaan. Paling selesa ialah sewaktu dipandu di lebuh raya dan menjadi kurang selesa di jalan raya biasa dengan menjadi sedikit ayunan pada cesi.
Jika anda mahukan lebih selesa, Audi Q8 menawarkan ciri penyerap hentak adaptif namun sudah tentu harganya jauh lebih mahal. Kawalan stering di jalan lurus adalah memuaskan termasuklah cengkaman ketika melalui bulatan pusingan
Tapi jika anda terus menekan pedal, inersia yang terhasil pasti cuba membuatkan anda terasa seperti terlempar ke luar. Bunyi derapan tayar Continental Premium Contact adalah minima dengan kadar bunyi bising yang didengari oleh penulis adalah sekitar 59dB sahaja
Dalam aspek keselamatan, Kia EV9 lengkap dengan semua ciri keselamatan aktif lengkap dengan ciri brek kecemasan. Sistem Auto Park, Amaran Titik Buta, Amaran Lintasan Trafik Belakang dan Lance Change yang ditemani dengan brek AEB.
Namun sistem keselamatan ini juga diberikan ciri Driver Attention Alert yang terlalu sensitif, dengan meminta penulis berhenti berehat selepas 10 minit memandu disebabkan beberapa kali melintas garisan putus-putus ketika selekoh tanpa memberi isyarat membelok.
Walaupun pada masa tersebut ciri Lane Keep Assist telah dimatikan. Terdapat satu butang yang boleh mengesan cap jari, memudahkan pemilik meletakkan semua ciri pilihan peribadi sewaktu memandu seperti memposisikan kedudukan stering dan kusyen.
Namun ciri ini tidak membenarkan pemilik menetapkan ciri keselamatan pada kenderaan, semuanya perlu dimatikan secara manual. Penulis juga mendapati cermin sisi digital juga agak sukar untuk digunakan pada awalnya, dan memerlukan masa untuk membiasakan diri
Namun pada masa yang sama cermin sisi digital ini amat terang pada waktu malam, jauh lebih baik berbanding dengan cermin sisi konvensional
Harga yang diminta RM 375,000 bagi Kia EV9 GT-Line 6 tempat duduk ini pada hemat penulis kena dengan penawaran yang diberikan, melainkan anda lebih meminati Volvo XC90 Recharge PHEV yang lebih premium.
Tapi dari segi rekaan, penawaran ciri istimewa produk seperti ciri mengawal EV9 dengan menggunakan alat kawalan jauh. Ia memudahkan anda untuk masuk dan keluar dari kenderaan jika diparkir di ruang yang sempit.
Bagi Kia EV9, harga yang ditawarkan termasuk jaminan selama 5 tahun atau 150,000km untuk keseluruhan kenderaan manakala bateri dan trenkuasa dilindungi jaminan selama 8 tahun atau 160,000km