Buletin

KIA MENANG LAGI ANUGERAH REKA BENTUK iF, 3 MODEL SEKALIGUS

Tidak boleh dinafikan lagi bahawa Kia memang handal dalam reka bentuk kenderaan. Bukan sahaja diperakui oleh pengguna tetapi juga pakar dalam bidang reka bentuk.

Membuka tirai 2019, Kia menang Anugerah Reka Bentuk iF bukan untuk sebuah tetapi tiga model sekaligus.

Model yang menang dalam anugerah tersebut ialah generasi ketiga Kia Ceed dengan tiga bentuk badan iaitu hatchback, Sportswagon dan ProCeed shooting brake.

Lebih menarik apabila ini bukan kali pertama Kia menang hatrik atau tiga model menang sekaligus dalam iF malah kali ketiga iaitu pada tahun 2017 dan 2018.

Pencapaian ini adalah bukti kepada reputasi jenama Korea untuk reka bentuk kelas pertama yang kini sudah lebih sepuluh tahun dibentuk oleh Peter Schreyer, Presiden Reka Bentuk dan Ketua Pegawai Operasi Reka Bentuk Kia Motors.

Kia pertama kali memenangi Anugerah iF pada tahun 2010 dan sejak itu sekurang-kurangnya satu anugerah dibawa pulang setiap tahun.

Sehingga tahun ini sudah 18 Anugerah iF berjaya dimenangi oleh Kia.

Nampak seperti mudah tetapi Kia sebenarnya banyak bereksperimen dengan reka bentuk kenderaan mereka.

Anda boleh melihat pelbagai konsep reka bentuk kenderaan Kia mengikut segmen.

Ada yang comel seperti Soul, garang seperti Stinger, ‘Eropah’ seperti Ceed dan ‘SUV Jerman’ seperti Sportage.

Pelbagai gaya bahasa seperti ini membuatkan reka bentuk Kia meriah dan berbeza dengan sesetengah pengeluar lain terutama sekali dari Eropah yang kekal dengan satu tema gaya bahasa sahaja.

Famili Proceed yang memenangi Anugerah iF tahun ini direka di studio Kia Eropah di Frankfurt, Jerman di bawah seliaan Peter Schreyer dan Gregory Guillaume, Ketua Reka Bentuk Kia Eropah.

Kerja-kerja kejuruteraan dan pembangunan dibuat di pusat penyelidikan dan pembangunan Kia di Rüsselsheim manakala proses pengilangan di Slovakia.

Satu lagi perkara menarik tentang famili Proceed ialah garisan badan kereta ini dipengaruhi oleh Kia Stinger yang merupakan pemenang Anugerah iF pada tahun 2018.

Anugerah Reka Bentuk iF dimulakan pada tahun 1953 dan merupakan salah satu pengiktirafan reka bentuk berprestij di dunia.

Ia dianjurkan setiap tahun oleh iF International Forum Design GmbH di Hanover yang merupakan badan reka bentuk bebas paling lama di dunia.

Untuk edisi 2019, penyertaan diterima dari 50 buah negara dengan 6,400 produk dinilai oleh juri antarabangsa yang terdiri daripada 67 pakar reka bentuk.

BACA: KIA ProCeed Shooting Brake – MASIH INGAT KIA RIO GEN PERTAMA?

BACA: KIA OPTIMA 2019 – INILAH SAINGAN HONDA ACCORD DAN TOYOTA CAMRY

Google ads
Back to top button