
KIA SORENTO 2.5 AWD, 177 KUASA KUDA & 253NM TORK.
Sebut je pasal jenama Kia, ramai orang komen negatif. Macam macam cerita dengar. Tapi tue dulu, la ni Kia dah banyak berubah lepas jenama ini diambil alih oleh Bermaz yang pada masa sama memegang hak pengedaran jenama Mazda dan juga Peugeot
1. Design/rekaan luar – Kia ni duduk dalam group Hyundai-Kia, tapi dari segi rekaan luar jenama Kia lagi berani dan lagi agresif berbanding Hyundai. Try tengok Kia EV-6, memang cun dan bergaya
Model Kia Sorento ni pun memang lawa, dari depan macam Range Rover terutama dari segi rekaan lampu depan DRL LED, pandang dari belakang pula ala ala Cullinan, dan dari sudut tepi macam Lincoln Navigator. Shoulder line Kia Sorento memang nampak kemas dan gagah
Berbeza dengan rekaan sebelum ini, Sorento tampil dengan rekaan yang lebih berkotak tapi pada masa sama nampak lagi tegap. Pada hemat penulis, rekaan ini akan lebih tahan lama atau evergreen berbanding dengan rekaan lain yang “fancy”

2. Saiz Kia Sorento pun boleh tahan besar, panjang 4810mm, lebar 1900mm, tinggi 1695mm dan jarak antara roda ialah 2815mm. Semua angka angka ni rapat ke Proton X90, Mazda CX-8 dan lebih besar daripada Hyundai Santa Fe iaitu dalam segmen SUV segmen D
Terdapat 2 varian tempat duduk, samaada 7 tempat duduk atau 6 tempat duduk yang lebih premium dan luas. Bagi varian 7 tempat duduk, ia akan ditawarkan dengan enjin 2.5 petrol sahaja. Hanya varian 6 tempat duduk akan ditawarkan dengan 2 enjin iaitu enjin 2.2 turbodiesel selain enjin petrol
3. Bagi varian 7 tempat duduk, ia akan disusun dalam susunan 2-3-2, manakala varian 6 tempat duduk ia akan disusun dalam susunan 2-2-2. Varian 7 tempat duduk hanya menggunakan enjin 2.5 petrol aluminium SmartStream aspirasi normal yang menjana 177 kuasa kuda & 232 Nm tork.
Semua kuasa dihantar ke roda depan menerusi transmisi 6 kelajuan automatik yang boleh dikawal dengan ciri Shiftronic. Sayangnya tiada ciri Paddleshift ditawarkan bagi varian petrol

4. Bagi varian 6 tempat duduk selain enjin petrol, ia dturut ditawarkan dengan enjin 2.2 turbodisel. Enjin ini lebih bertenaga dengan hamburan 199 kuasa kuda dan 440Nm tork seawal 1750 RPM. Semua varian 6 tempat duduk akan ditawarkan dengan sistem pacuan semua roda AWD dengan suis 4WD lock, yang akan memastikan semua tayar berputar pada laju yang sama sehingga 20km/jam
5. Tapi AWD Kia ni pada kebanyakan masa akan menggunakan roda depan unttuk menggerakkan kereta, atau FWD Bias. Bila Kia Sorento nak cengkaman yang lebih banyak, barulah Sorento akan menjadi AWD sepenuhnya dengan sebahagian kuasa dihantar ke roda belakang
Jadi petrol Kia Sorento sangat ok, sekitar 13.7km/liter. Ia adalah angka yang munasabah bagi sebuah SUV besar 3 baris dan 6 tempat duduk dengan berat mencecah 1771kg dan lengkap dengan sistem AWD.
6. Satu perkara yang menarik perhatian penulis ialah operasi gear automatik 6 kelajuan dan enjin memang lancar jika dibandingkan dengan model yang sebelumnya. Operasi enjin terasa lembut dan penukaran gear dibuat tanpa ada sebarang rasa sentakan ynag boleh dirasakan

Kalau dipandu di atas lebuhraya memang sangat cemerlang dan rasa mahal. Cuma dengan berat 1771kg dan sistem AWD, enjin 2.5 4 silinder aspirasi normal ni cukup cukup makan saja, dan kadangkala menyebabkan penulis rasa kurang yakin bila hendak memotong di jalan persekutuan .
Mungkin penangan sistem AWD, tork 253Nm tu rasa biasa sahaja. Kalau nak sedap dan lebih berkuasa, rasanya varian turbodiesel 200hp & 440Nm tork jugak pilihan yang tepat.
7. Ada 4 mod pemanduan yang ditawarkan iaitu Eco, Comfort, Sport dan Smart. Sepanjang pandu uji, penulis kekal menggunakan mode Smart yang akan menggabungkan mode Eco, Comfort dan Sport dalam pemanduan anda berdasarkan cara anda memandu
Ini bermakna, jika anda santai Kia Sorento secara automatik akan menggunakan mod Eco, bertukar secara spontan pada mode Sport jika anda mula memandu secara agresif. Jika dipilih secara manual, corak rekaan meter akan berubah mengikut mod pemanduan.

Secara keseluruhan, Kia Sorento AWD 2.5 NA ini direka untuk pemanduan secara santai dan mengutamakan keselesaan. Sistem suspensi McPherson di roda depan dan MultiLink di roda belakang memang terasa lembut dan menyerap semua permukaan jalan dengan bagus sekali
Jadi gabungan jarak kelegaan sekitar 176mm dan suspensi talaan yang lembut bukanlah kombinasi yang ideal di selekoh, jika anda memandu laju. Jika anda perlukan sebuah SUV yang sedap di selekoh, jawapannya ialah Mazda CX-8 ataupun CX-9.
Dalam aspek brek termasuklah brek kecemasan, Kia Sorento memang cemerlang terutama apabila digandingkan dengan sistem Forward Collision Avoidance Assist di bahagian depan dan juga belakang. Dalam satu situasi, sistem ini membrek terlebih dahulu walaupun kaki penulis telah sedia di pedal brek
8. Dalam aspek keselamatan, Kia Sorento padat dengan teknologi keselamatan aktif yang lain seperti Blind Spot Collision Avoidance Assist, Blind Spot View Monitor (dipaparkan pada meter digital, Head Up Display dan Cermin sisi), Rear Cross Collision Avoidance Assist, Lane Keeping Assist, Smart Cruise Control yang meyakinkan, dan juga Driver Attention Warning.

9. Kia Sorento juga cemerlang dalam aspek keselesaan, dengan ruangan kabin menghasilkan sekitar 70dB pada kelajuan 120km/jam. Tayar Goodyear F1 Eagle SUV ini selain daripada senyap, cengkaman yang ditawarkan juga boleh tahan bagus
Paling selesa ialah 2 baris tempat duduk di depan yang menawarkan sokongan yang bagus pada badan untuk perjalanan jarak jauh. Kusyen barisan belakang juga boleh tahan luas kecuali ruang lantai yang sedikit tinggi menyebabkan kaki anda terangkat ketika duduk di belakang. Rasanya barisan tempat duduk ketiga adalah bagus untuk kanak-kanak saja
10. Tapi Kia Sorento langsung tidak kedekut dari segi peralatan dengan barisan ketiga mendapat corong penyaman udara sendiri lengkap dengan alat kawalan, poin USB untuk mengecaj telefon, dan butang untuk melipat kusyen barisan kedua.
Sorento menawarkan 187 liter ruang kargo bila semua kusyen digunakan, atau 2011 liter bila kusyen barisan ke 2 dan ke 3 dilipat. Ruang ini menjadi 616 liter jika tempat duduk barisan ke 3 sahaja dilipat.

Penumpang barisan kedua mendapat Boss Button untuk menganjakkan kusyen barisan pertama ke depan, corong penyaman udara, USB poin, perehat tangan, ISOFIX poin pada kusyen barisan kedua dan ketiga, pembesar suara BOSE, sambungan Android Auto/Apple Car Play tanpa wayar dan juga sistem pengecas tanpa wayar
10. Secara jujurnya, penulis tiada masalah dengan Kia Sorento melainkan dengan penawaran harga yang terasa sedikit di luar kemampuan. Kia Sorento dijual dengan harga RM 211,498 untuk varian 2.5 7 tempat duduk, RM 235,498 bagi varian 2.5 AWD 6 tempat duduk dan paling malah RM 255,288 bagi 2.2 turbodiesel 6 tempat duduk
Sebagai perbandingan, semua harga ini lebih mahal berbanding dengan Mazda CX-8 2.2 Turbodiesel (RM 204,750) dan juga Mazda CX-8 2.5 Turbo (RM 212,225) menjadikan anda sedikit kecewa, sebab kebiasaannya harga Kia lebih murah daripada jenama Jepun.
Sama seperti mana-mana produk yang dijual oleh Bermaz, Kia Sorento datang dengan jaminan selama 5 tahun, 5 tahun servis percuma termasuk alat ganti, upah servis dan juga cecair pelincir. Jadi selama 5 tahun anda tak perlu risaukan berkenaan dengan semua kos sampingan ketika memiliki Kia Sorento.


