Buletin

HONDA MALAYSIA LANCAR HR-V 2021. HARGA BERMULA RM104K

Honda Malaysia secara rasmi melancarkan model HR-V 2021 dengan ciri baharu serta dinaiktaraf pada bahagian luaran bagi varian Hibrid.

Model terbaharu itu ditawarkan dengan empat pilihan varian iaitu HR-V E, HR-V V, HR-V RS dan HR-V Sport Hybrid i-DCD  .

Senarai harga bagi empat varian berkenaan adalah seperti berikut:-

  • HR-V E – RM104,000.21
  • HR-V V – RM113,421.92
  • HR-V RS – RM118,581.81
  • HR-V Sport Hybrid i-DCD (akan diumumkan nanti)

Kesemua varian dilengkapi dengan skrin infotainmen 7 inci Display Audio yang menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.

Ia turut mendapat dua slot pengecasan USB tambahan di bahagian konsol tengah untuk memberi kemudahan kepada para pelanggan.

Dalam pada itu, model HR-V Sport Hybrid Intelligent Dual-Clutch Drive (i-DCD) pula didatangkan dengan beberapa kemasan lebih moden dan segar.

Penampilan baharu tersebut termasuk lampu utama LED, lampu belakang LED Guide Taillights dan lampu kabus hadapan yang juga daripada LED.

Melengkapkan perubahan baharu jentera berkenaan merupakan pemegang pintu daripada krom, roda stereng tiga jejari dibaluti kulit menyerlahkan pemanduan lebih sporty.

Honda HR-V  yang diperkenalkan pada tahun 2015  berjaya dijual sebanyak lebih 98,600 unit atas jalan raya Malaysia.

Bagi model facelift yang menjengah pasaran pada Januari 2019 dengan pengenalan varian RS dan Sport Hybrid menjadikan jenama HR-V semakin popular dalam kalangan peminat automotif negara.

Pada tahun lalu, Honda HR-V  muncul sebagai model ketiga paling laris dijual, menyumbang kepada 17 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan Honda Malaysia.

Para pelanggan boleh melayari platform pra-tempahan terbaharu online dengan melayari https://prebook.honda.com.my/ atau mengunjungi pusat pengedar sah Honda Malaysia yang tertakluk kepada syarat SOP yang telah ditetapkan.

Google ads
Back to top button