Artikel Pilihan

TOYOTA 222D – KISAH JENTERA RALI MR2 (TAPI SAYANGNYA TAK SEMPAT BERAKSI…) 

Penyertaan Toyota dalam sukan rali bukanlah sesuatu yang baru. Namun, di sebalik sejarah kejayaan Toyota dalam kempen Kejuaraan Rali Dunia (WRC), sebenarnya ada kisah menarik yang mungkin tidak diketahui ramai. 

Pada tahun 1984, Toyota telah memberi kelulusan kepada sepasukan jurutera untuk membangunkan sebuah jentera bagi Kumpulan S dalam kempen WRC. Objektifnya adalah untuk memenangi perlumbaan WRC, sekali gus mengukuhkan persepsi orang ramai terhadap jenama Toyota.

Dikenali dengan kod nama Toyota 222D, ia memenuhi piawaian dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Fédération Internationale du Sport Automobile (FISA). Semua proses pembangunan dilakukan sendiri oleh Toyota sebagai usaha untuk mengumpul pengetahuan sewajarnya.

Pada ketika itu, kereta rali Toyota dibina di atas model Celica dengan pacuan roda belakang. Analisa ke atas garis panduan membuatkan pasukan jurutera Toyota untuk menggunakan susun atur enjin tengah dengan pacuan semua roda.

Kebetulan pula, Toyota baru sahaja melancarkan generasi pertama MR2 – Midship Runabout 2 tempat duduk. Maka, model itu terus dipilih untuk dijadikan mesin rali Kumpulan S ini.

Pada asalnya, jentera itu dijangka menggunakan enjin tengah bersesaran 1.6 liter dan pacuan roda belakang. Tetapi, Toyota Jepun mencadangkan MR2 itu diubah suai dan dipasang dengan enjin 2.0 liter pengecas turbo dan pacuan semua roda yang diambil daripada Celica GT-Four yang akan dilancarkan dalam tempoh dua tahun.

Kereta projek itu kemudian dilengkapi suspensi hadapan double wishbone, suspensi bebas lima sambungan di belakang dan transmisi manual.

Prototaip pertama Toyota 222D disiapkan pada Februari 1985, sebelum diuji selama berbulan-bulan di Jepun dan Eropah. Hasil penilaian ujian tersebut, arahan diberi pada Jun 1985 untuk melakukan beberapa perubahan. Ia melibatkan kedudukan enjin, lejang suspensi, saiz tayar dan mekanisma pemisahan kuasa tork yang membolehkan jentera tersebut menukar di antara pacuan dua dan empat roda dengan mudah.

Tarikh akhirnya ialah pada Disember 1985. Malangnya pada September, FISA mengambil keputusan untuk membatalkan kategori ‘supercar rali’ atau Kumpulan S selepas berlaku beberapa kemalangan maut. FISA sebaliknya memperkenalkan garis panduan yang lebih ketat untuk Kumpulan A. Tujuannya adalah untuk mengehadkan prestasi kereta lumba dan mengurangkan kemalangan.

Walaupun garis panduan Kumpulan S tidak dikuatkuasakan sehingga 1987, Toyota telah banyak melabur ke atas projek 222D dan jentera itu hampir siap. Malangnya keputusan FISA membuatkan pasukan Toyota tiada pilihan selain daripada memberhentikan projek berkenaan.

Untuk musim WRC 1986-1987, Toyota meneruskan cabaran dengan model Celica dan Supra.

Dilaporkan hanya ada dua unit prototaip Toyota 222D wujud. Model berwarna hitam itu kini disimpan di kemudahan Toyota Motorsport GmbH di Cologne, Jerman. Sementara jentera berwarna putih dipamerkan di bilik pameran di Toyota Mega Web, Tokyo, Jepun.

BACA: RESTOMOD TOYOTA FJ40 LAND CRUISER MACAM INILAH YANG KITA NAK!

teks/foto: blog.toyota.co.uk

Google ads
Back to top button