Buletin

KKM MINTA IDEA INOVATIF UNTUK BAZAR RAMADAN. BOLEH JADI E-BAZAR RAMADAN ATAU SECARA PANDU LALU

Memahami keinginan rakyat yang mahu pergi ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka sepanjang bulan puasa nanti, Kementerian Kesihatan memberitahu pihaknya terbuka dalam menerima idea-idea yang inovatif. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menyatakan inilah masanya untuk rakyat Malaysia meluahkan idea-idea yang kreatif. 

“Misalnya semalam ada ditimbulkan mengenai isu bazar Ramadan. Mermang ada garis panduan daripada KKM yang perlu dipatuhi. Tetapi bagaimana kita boleh zahirkan idea-idea yang baru ini. Contohnya, boleh tak kita laksanakan e-bazar Ramadan, online bazar Ramadan atau bazar Ramadan pandu lalu. 

“Apa yang pasti, kita kena elakkan daripada berkumpul dalam jumlah yang ramai dan mengamalkan penjarakan sosial. Jadi, kita terbuka terhadap idea-idea yang akan dikemukakan. Kementerian akan melihat garis panduan yang telah ditetapkan sebelum boleh meneruskan atau terima pakai idea berkenaan,” jelas Noor Hisham dalam sidang media sebentar tadi. 

Sejak seminggu lalu, beberapa buah negeri telah mengumumkan bahawa mereka telah membatalkan bazar Ramadan. Terbaharu, Selangor mengambil pendekatan yang sama.  

Setakat ini, Terengganu dilapor telah merancang untuk menyedikan satu platform jualan dalam talian untuk peniaga bazar Ramadan di negeri itu. Peniaga dikatakan perlu mendaftarkan peniagaan masing-masing menjelang minggu kedua April. 

Biarpun begitu, masih belum jelas bagaimana sistem tersebut akan beroperasi, sama ada melalui laman web atau aplikasi mudah alih.

Namun, kerajaan negeri ada menyatakan bazar dalam talian itu hanya akan menggunakan perkhidmatan bayaran elektronik atau e-wallet untuk semua transaksinya. 

Google ads
Back to top button