Buletin

LAMBORGHINI PUN BUAT TOPENG DAN PELINDUNG MUKA ATASI COVID-19!

Sejak wabak COVID-19 melanda sering kedengaran bagaimana pengilang menukar operasi mereka menjadi pengeluar topeng dan pelindung muka. Tidak kurang juga individu yang sama-sama membantu melalui mesin pencetak 3D.

Ini pula inisiatif dari syarikat eksotik Automobili Lamborghini yang menukar operasi pengeluaran kereta di kilang Sant’Agata Bolognese bagi menghasilkan topeng perubatan (surgical) dan pelindung muka (medical shield) plexiglass.

Topeng yang dihasilkan akan didermakan kepada Hospital Sant’Orsola-Malpighi di Bologna sebagai usaha melawan pandemik COVID-19.

Kerja-kerja menghasilkan peralatan tersebut akan dibuat oleh kakitangan jabatan yang mengeluarkan interior dan peralatan custom untuk kereta Lamborghini dengan jumlah topeng sebanyak 1,000 keping sehari.

Pelindung muka pula akan dihasilkan sebanyak 200 unit sehari menggunakan mesin pencetak 3D di bawah bahagian pengeluaran gentian karbon dan jabatan Penyelidikan dan Pembangunan.

Usaha ini dibuat dengan kerjasama Universiti Bologna. Jabatan Perubatan dan Sains Pembedahan akan menyelia bahagian pengujian peralatan perlindungan tersebut sebelum dihantar ke hospital.

Sebagai tanda kesatuan dan sokongan kepada negara yang sedang menghadapi wabak ini, Lamborghini akan menyalakan lampu dengan warna bendera Itali pada setiap malam di ibu pejabatnya di Sant’Agata Bolognese.

BACA: SUV URUS LONJAK JUALAN LAMBORGHINI, TERBAIK DALAM SEJARAH!

BACA: LAMBORGHINI HURACÁN EVO RWD – SENSASI ‘TARIK BELAKANG’

BACA: LAMBORGHINI HURACÁN DIGUNA UNTUK PANDU ARAH KAPAL TERBANG

Tags
Google ads
Back to top button