Buletin

KLIMS 2018: BOOTH PROTON TERUS DISERBU – SOALAN PERTAMA, BERAPA HARGA X70?

KLIMS 2018 membuka pintunya kepada orang ramai bermula hari ini (Jumaat). Bermula perlahan sejak pagi, namun situasi berubah pada sebelah petang apabila orang ramai mula beratur di kaunter penjualan tiket.

Ada beberapa sebab kenapa orang Malaysia teruja untuk datang ke sini. Selain daripada hadiah cabutan bertuah utama iaitu tiga buah kereta, Toyota C-HR, Honda City dan Perodua Myvi, satu lagi sebab utama ialah sebenarnya kali terakhir KLIMS dianjurkan ialah lima tahun lalu, KLIMS 2013.

Untuk makluman, hanya dua dewan besar disediakan. Di tingkat 1 dan tingkat dua. Kalau dinilai dari segi skala, KLIMS 2018 masih kecil kalau hendak dibandingkan dengan pameran sama yang diadakan di negara jiran seperti Indonesia dan Thailand.

Biarpun begitu, apa yang menarik perhatian saya ialah jumlah pengunjung yang datang ke ruang pameran Proton. Sedia maklum bahawa Proton akan melancarkan SUV pertamanya, X70 ke pasaran tempatan tidak lama lagi.

Kalau sebelum ini cuma ada prebiu eksklusif, sekarang sesiapa sahaja boleh melihat X70 secara dekat. Melihat dan merasa sendiri kualiti yang mampu ditawarkan oleh jentera hasil kerjasama di antara Proton dan Geely itu.

Saya sempat bertanya kepada salah seorang kakitangan Proton di sana. “Soalan pertama yang pengunjung tanya ialah berapa harga X70. Sebagaimana yang telah diumumkan sebelum ini, Proton akan mendedahkan harga X70 pada 12 Disember depan.

“Ramai yang kata mereka berpuas hati dengan kualiti SUV ini. Untuk KLIMS, kami ada mempamerkan dua varian X70 iaitu Executive dan Premium. Setakat ini, ada juga tempahan yang kami terima,” katanya.

Saya bertanya pula kepada seorang lelaki yang nampaknya begitu berminat untuk membeli X70. Hanya mahu dikenali sebagai Ho, dia kagum dengan kualti binaan X70.

Ho sukakan ruang kabin dan kargonya yang luas. Kualiti kemasan dalaman juga setanding dengan kenderaan jenama luar negara.

“Saya memang sedang mencari sebuah SUV. Mungkin satu-satunya kekurangan X70 ialah tiada varian pacuan empat roda. Maklumlah, kalau ada 4WD senang sikit nak redah banjir kilat,” katanya yang berasal dari Petaling Jaya dan kini memandu sebuah Toyota Vios.

Apa pula pandangan dari seorang wanita? Selepas beberapa kali gagal untuk mendapatkan respons memuaskan hati, saya berjaya juga mendapatkan jawapan dari seorang ‘akak’.

“Secara ringkasnya, X70 nampak besar. Saya suka sebab ini kali pertama Proton hasilkan SUV. Setakat ini, tiada komplen. Lagipun teknologi dan ciri yang ada pada X70 nampak berbaloi dengan harga yang akan diumumkan nanti,” katanya yang enggan mendedahkan nama.

Ini mungkin boleh menjadi indikator awal penerimaan positif orang ramai terhadap X70. Apa pun, masih terlalu awal untuk kita membuat sebarang telahan. Kita tunggu…

GALERI

Google ads
Back to top button