Artikel Pilihan

KOENIGSEGG DIRECT DRIVE, TAK PAKAI GEAR

Penulis sebenarnya tak pasti nak tulis macam mana, tapi itulah tajuk yang sesuai. Koenigsegg Regera dan Gemera menggunakan sistem transmisi yang dihasilkan khas oleh Koenigsegg yang mana ia hanya memiliki satu ratio sahaja. Christian von Koenigsegg menjelaskan, semakin banyak gear yang dipasang pada kereta, semakin kompleks gear semakin banyak tenaga yang hilang dalam sistem.

Apabila idea ini dicetuskan oleh Christian, pasukan Koenigsegg Advance Engineering terus membangunkan kajian untuk merealisasikan idea bos botak mereka. Cabaran diterima kata mereka. Mereka juga bersetuju dengan bos mereka bahawa transmisi sebenarnya ada kelemahan iaitu berat. Faktor berat juga menyebabkan Honda memilih untuk terus menggunakan transmisi manual bagi Civic Type R mereka.

Jadi pasukan Koenigsegg ini membuang transmisi tradisional dari Regera dan Gemera dan menggantikannya dengan Koenigsegg Direct Drive dari unit enjin kepada roda dengan hanya satu nisbah gear sahaja iaitu 2.73:1 seperti yang ada pada Regera. Jadi untuk memahami bagaimana sistem ini berfungsi, ada beberapa komponen utama yang digunakan oleh Koenigsegg.

1. 3 unit motor elektrik – dilengkapkan pada sistem iaitu 2 motor pada roda belakang. Ini bermakna setiap tayar akan mendapat 1 motor elektrik yang berkuasa 500 kuasa kuda dan 1000Nm tork. 1 lagi motor yang berkuasa 400 kuasa kuda dan 500Nm tork dipasang pada enjin

Kesemua motor elektrik ini direka dan dihasilkan sepenuhnya oleh Koenigsegg sendiri disebabkan vendor lain gagal menghasilkan motor mengikut spesifikasi mereka. Motor ini mempunyai 3 fungsi utama iaitu untuk menukar tenaga elektrik dari sistem bateri kepada kuasa mekanikal, melaksanakan sistem torque vectoring dan mengecas semula sistem bateri.

Di sini kelebihan motor elektrik berbanding dengan enjin pembakaran dalam. Ia boleh menghasilkan tork dengan segera dari 0 RPM sehingga ke 18,000 RPM dan tork yang dihasilkan ini kekal pada semua RPM. Sebagai contoh enjin petrol mungkin hanya menghasilkan tork maksima pada 4800 RPM.

Enjin turbo mungkin boleh menghasilkan tork maksima antara 1800-4000 RPM. Di luar julat tersebut, tork yang dihasilkan adalah tidak efisyen. Berbanding dengan motor elektrik, tork maksima boleh dihasilkan pada mana-mana RPM

Christian menerangkan komponen HydraCoup

2. Penukar tork – atau dalam bahasa Inggeris Torque Converter yang berfungsi menyambung atau memutuskan kuasa dari enjin kepada roda. Namun seperti yang diterangkan dalam artikel kami sebelum ini, penukar tork ada keupayaan untuk menggandakan nilai tork yang terhasil oleh enjin sebelum sampai kepada roda.

Dalam Koenigsegg Direct Drive, unit penukar tork ini dikenali dengan nama HydraCoup. Kami lagi suka jika unit ini dipanggil dengan nama AvengersCoup ke, Manchester United Coup ke, baru la superhero kan.

3. Pek bateri gred Formula 1 – merupakan sebahagian daripada komponen Koenigsegg Direct Drive yang membekalkan tenaga kepada 3 motor tadi. Ketumpatan tenaga yang ada pada pek bateri ini menyamai sistem bateri yang dipasang pada sistem jentera Formula 1.

Bagi Regera, ia memiliki 2 pek bateri yang disusun secara selari. Satu pek ada 192 sel menjadikan tenaga yang disimpan dalam bentuk elektrik sebanyak 4.5kWh yang boleh membebaskan 800 volt kuasa elektrik dalam masa yang singkat. Pek bateri Gemera pula lebih besar, iaitu 15kWh. Dalam model Regera, pek bateri ini hanya seberat 66kg termasuk cecair penyejukan

Bagaimana semua sistem ini berfungsi

Disebabkan menggunakan nisbah gear yang tinggi pada Regera dan Gemera (seperti gear 7 dalam Agera) adalah amat susah untuk kereta biasa dengan enjin pembakaran dalam bagi memacu tayar kereta ke depan. Namun Gemera dan Regera mengatasi masalah ini dengan menggunakan motor elektrik dan pek bateri berkuasa tinggi bagi memulakan perjalana.

Motor elektrik mampu menghasilkan tork yang amat tinggi sehingga 1000Nm tork walaupun pada 0 RPM. Jadi sistem motor elektrik dan pek bateri akan bertindak memulakan perjalanan kereta seperti yang dilakukan oleh kereta biasa dengan gear yang rendah.

Enjin Gemera dan Regera bukanlah bertindak sebagai penggerak utama pada kereta ketika memulakan perjalana. Tork yang dihasilkan oleh 3 motor elektrik akan digandakan oleh sistem penukar tork HydraCoup dari keadaan pegun sehinggalah sistem klac mula mengunci penukar tork dari aci input kepada aci output.

Ketika inilah enjin mula dihidupkan dan menghantar terus kuasa pada roda secara beransur-ansur kepada penukar tork. Bagi enjin Gemera ia akan menghantar 660 kuasa kuda dan 600Nm tork daripada enjin 2000cc turbo berkembar freevalve. Regera pula menggunakan enjin V8 5000cc turbo berkembar yang menghasilkan 1100 kuasa kuda dan 870Nm tork.

Pembaca tak usah risau pasal bateri yang digunakan oleh Regera dan juga Gemera. Ia boleh melepaskan tenaga 10 kli lebih pantas berbanding kereta elektrik yang biasa dan pada masa yang sama mengecas 10kali ganda lebih pantas. Katakan anda sedang memandu pada halaju 150 dan diekori rapat oleh sedan berkuasa VTEC bersama tulisan Jepun, ia mampu memecut dari 150km/j ke 250km/j dalam masa 3.5 saat sahaja.

Sebaik sahaja anda menjauhi kereta tersebut dan memandu pada halaju 150km/j semula, sistem akan mengecas semula bateri dengan pantas dan bersedia untuk mengulangi proses pecutan tersebut. Gemera boleh memecut 0-100km/j dalam masa 1.9 saat dan 0-400km/j dalam masa 20 saat sahaja.

Google ads
Back to top button