Buletin

PORSCHE 911 GT3 RS BARAI ANGKARA PERUSUH

Sebuah Porsche 911 GT3 RS dilihat mengalami kerosakan teruk apabila rusuhan tercetus di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Menurut laporan carscoops, insiden berkenaan berlaku pada hujung minggu lalu apabila penunjuk perasaan dan perusuh mula memenuhi jalanan di bandar City of Angels itu.

Ketegangan mula melanda Amerika Syarikat berikutan protes terhadap kematian lelaki Afrika-Amerika, George Floyd pada 25 Mei di Minneapolis.

Seorang Youtuber dan jurugambar kereta effsport, berkongsi satu klip video yang memaparkan perusuh memecah masuk kedai-kedai dan mencuri apa sahaja di depan mata mereka.

Lebih menyedihkan apabila video berkenaan menunjukkan sebuah Porsche 911 GT3 RS berwarna hitam turut dirosakkan. Begitupun, bagaimana ia boleh berada dalam keadaan barai tidak dapat dipastikan.

Bahagian bumbung juga rosak, mungkin kerana ada individu yang melompat di atas kereta berkenaan. Tingkap belakang dan tepi kereta berprestasi tinggi itu turut dipecahkan. Malah terdapat grafiti berwarna jingga di bahagian pintu kanan.

Pelaku turut membiarkan pintu penumpang terbuka dan memasang lampu kecemasan berkelip-kelip. Tayarnya turut ditoreh.

Apa yang lebih membingungkan, mereka tidak mencuri kereta itu tetapi membiarkan ia tersadai di jalanan menanti simpati pengguna jalan raya.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada kereta yang dirosakkan itu merupakan Porsche 911 GT3 RS ataupun telah dibikin.- carscoops

Google ads
Back to top button