
LAMBORGHINI TIDAK PERLU MODEL KEMBAR AUDI BANGUNKAN PENGGANTI HURACAN – DUIT BANYAK NI BOH
Lamborghini sentiasa mencatatkan keuntungan yang tinggi membolehkan mereka mempunyai kewangan yang kukuh untuk bangunkan pengganti Huracan tanpa perlu bergantung kepada Audi.

Lamborghini Huracan dan Gallardo keduanya dibangun dan dilancarkan bersama dua generasi Audi R8. Mungkin masa tu tak cukup kaya lagi kot. Bercakap pada media pada pelancaran Huracan Sterrato baru-baru ini, Pengarah Lamborghini rantau Asia-Pacific, Francesco Scardoni menyatakan yang pengganti kepada Huracan akan menggunakan platform unik bebas dari pengaruh Audi.
Ia disebabkan keuntungan besar yang dijana membolehkan mereka mendapat lampu hijau untuk bangunkan platform sendiri. Lamborghini mempunyai kelebihan perkongsian teknologi dengan berada di bawah naungan Kumpulan VW tapi kebebasan bangunkan platform sendiri akan membolehkan DNA Lamborghini dikekalkan tanpa sebarang kompromi.

Tambahan pula mereka sentiasa mencatat keuntungan saban tahun. Jadi tak ada sebab pun untuk Kumpulan VW mahupun Audi nak membantah. Lain la kalau asyik rugi je memanjang.
Menariknya pengganti Huracan dikatakan masih lagi akan menggunakan enjin ICE walaupun Audi R8 generasi ketiga dikatakan akan bertukar kepada EV. Spesifikasi teknikal masih belum diketahui tetapi khabar angina yang bertiup membayangkan ia akan dibekalkan dengan enjin V8 turbo berkembar dengan sokongan sistem hibrid.
Lamborghini memang tak akan gunakan platform syarikat lain tapi Scardoni sendiri tidak pasti jika platform mereka akan digunakan oleh syarikat lain di bawah naungan Kumpulan VW selepas ini.
