
PRESIDEN FILIPINA ARAH POLIS DAN TENTERA TEMBAK MATI RAKYAT INGKAR ARAHAN KUARANTIN
Presiden Filipina, Rodrigo Duterte yang memang terkenal dengan pendekatan keras hari ini mengeluarkan arahan kepada pihak berkuasa supaya menembak rakyat yang mengingkari perintah kuarantin.
Arahan itu dikeluarkan oleh Duterte ketika angka kematian akibat COVID-19 di Filipina mencecah 100 orang. Dia menganggap mereka yang melanggar arahan dan menyusahkan kakitangan kesihatan sebagai satu jenayah yang serius.
“Keadaan semakin buruk. Saya ingin sekali lagi maklumkan kepada kamu betapa seriusnya masalah ini dan kamu mesti dengar. Arahan saya kepada polis dan tentera: Kalau ada masalah, jika mereka melawan dan membahayakan nyawa anggota keselamatan, tembak mereka sampai mati.
“Kamu faham? Mati. Daripada menyusahkan orang, baik saya tanam kamu,” tegasnya dalam satu ucapan yang disiarkan ke seluruh negara lewat malam tadi.
Sehingga kini, Fipilina telah mencatatkan 2,311 kes positif COVID-19 dalam tempoh tiga minggu. Jumlah jangkitan setiap hari pula mencecah ratusan pesakit.
Justeru, Duterte menyifatkan kerjasama semua rakyat dalam mematuhi perintah kuarantin yang dikuatkuasakan oleh kerajaan adalah sangat penting.
Sebelum ini, media ada melaporkan sejumlah penduduk di kawasan setinggan Manila membuat bantahan kerana tidak mendapat bantuan makanan yang mencukupi daripada kerajaan. Bantahan itu menimbulkan kekecohan.
Duterte juga mahu penderaan fizikal dan diskriminasi yang dihadapi oleh petugas kesihatan dihentikan.