Buletin

LEBIH 10,000 UNIT PROTON X70 TELAH DITEMPAH !

PROTON hari ini mengumumkan bahawa Syarikat telah menerima lebih 10,000 tempahan bagi SUV pertamanya iaitu Proton X70, pada pelancaran rasmi Ming Heng Motor Sdn Bhd, pengedar 4S baharu di Setapak. PROTON juga menyatakan bahawa cawangan yang mendapat kelulusan untuk 3S/4S telah melebihi sasaran dan menerima banyak lagi permohonan untuk membuka cawangan.


SUV pertama PROTON yang dinanti-nantikan iaitu Proton X70, telah dibuka untuk tempahan pra-pelancaran dari 8 September 2018. Pelanggan yang berminat dialu-alukan untuk membayar deposit tempahan di cawangan PROTON tetapi sejak 17 Oktober lalu, mereka turut menggunakan platform tempahan dalam talian yang membolehkan tempahan dibuat di mana-mana sahaja sekiranya terdapat sambungan internet.

Setakat ini, sambutan daripada rakyat Malaysia sangat menggalakkan kerana jumlah tempahan yang diterima melebihi 10,000 unit dan hampir 2,000 daripada tempahan itu dibuat secara dalam talian, di mana ia merupakan keputusan tepat yang dibuat Syarikat untuk mewujudkan dan melancarkan kemudahan tersebut.

“Kami berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia di atas sokongan yang diberikan kepada PROTON terutamanya apabila kami mula menerima tempahan untuk Proton X70. Meskipun kami perlu mengawal perkongsian maklumat sebelum pelancaran model tersebut, maklum balas yang diterima sangat menggalakkan kerana kami telah menerima lebih 10,000 tempahan termasuklah mereka yang menempah melalui dalam talian di mana ianya melebihi jangkaan kami. Kami tidak pasti bagaimana reaksi pelanggan terhadap kaedah baharu yang digunapakai ini tetapi penerimaannya menunjukkan cara bagaimana kereta perlu dijual pada masa akan datang.

“Buat masa ini kami berharap agar pelanggan bersabar kerana kami sedang membuat persiapan akhir pelancaran Proton X70. Model ini akan menjadi SUV pertama Proton serta kereta pertama yang dihasilkan bersama oleh PROTON dan Geely. Kami sedang berusaha keras untuk memastikan model ini adalah seperti apa yang diharapkan oleh pembeli dan pada masa yang sama kami turut mengeluarkan pelaburan yang banyak pada cawangan-cawangan pengedar supaya kami mempunyai perkhidmatan jualan dan servis selepas jualan yang diperlukan untuk menyokong produk yang penting ini,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

Google ads
Back to top button