Buletin

MERCEDES-BENZ GLC 300 4MATIC RASMI DILANCARKAN – 255HP/400NM, MHEV, BERMULA RM429K

Mercedes-Benz Malaysia hari ini melancarkan varian tunggal MHEV Mercedes-Benz GLC 300 4MATIC pacuan semua roda (AWD).

Bahagian hadapan GLC 300 menggunakan gril lebih besar dan dipadankan bersama lampu LED Digital selain terdapat logo Mercedes. Dari sisi depan, gaya sporty diserlahkan lagi oleh bampar.

Di bahagian belakang pula, terdapat kemasan krom pada ekzos manakala lampu belakang mempunyai rekaan lebih tipis.  

Model generasi kedua menampilkan rim aloi berbilang jari AMG 20-inci selain terdapat Adaptive Highbeam Assist serta perlindungan bawah badan.

Dimensi bagi GLC 300 ialah 4,716mm(panjang), 1,890mm (lebar), 1,640mm (tinggi) dan jarak roda pada 2,888mm. Di ruang but, ia memiliki kapasiti 620 liter.

Masuk ke bahagian kabin, model ini hadir dalam bahasa reka bentuk terbaharu seperti instrumen LCD penuh 12.3 inci berserta fungsi navigasi MBUX AR, skrin sentuh MBUX 11.9 inci, dengan ketersambungan Apple CarPlay atau Android Auto, panel pengecasan wayarles dan sistem audio Burmester 3D.

Sementara tempat duduk pula dibalut kemasan kulit ARTICO. Upholsteri dua warna (sienna brown black) juga tersedia bagi unit CBU terhad.

Beralih kepada kuasa, GLC300 4MATIC dikuasakan oleh M254 2.0 liter turbocas empat-silinder petrol, menghasilkan sehingga 255hp pada 5,800rpm dan 400Nm tork dari 2,000 hingga 3,200rpm.

Sistem ini dipadankan dengan transmisi automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan, serta sistem pacuan empat roda 4Matic dan sistem mild-hybrid 48-volt.

Mercedes-Benz juga memperkenalkan sistem hibrid ringan MHEV melibatkan integrated starter-generator (ISG) di mana ia mendapat kuasa tambahan sebanyak 23hp dan tork 200Nm.

Untuk rekod, had kelajuan dihadkan pada 240km/j manakala daya pecutan 0-100km/j hanya mengambil masa 6.2 saat.

Ciri keselamatan dan bantuan pemandu terdiri daripada kawalan melayar pasif, kamera 360-darjah, Active Parking Assist dengan Parktronic, peninjau titik buta, bantuan aktif mengekalkan lorong, Pre-Safe dan AEB.

Harga? Anda boleh memiliki Mercedes-Benz GLC 300 pada harga RM429,888 dengan pilihan warna standard Obsidian Black, Graphite Grey, Mojave Silver, High-Tech Silver, Spectral Blue dan Selenite Grey.

Bagi pilihan warna Diamond White Bright dan Hyacinth Red pula datang dengan kos tambahan sebanyak RM5,000.

GALERI:

Google ads
Back to top button