Buletin

LEGENDA F1 MIKA HÄKKINEN KEMBALI SEMULA KE LITAR!

Legenda Formula 1 Mika Pauli Häkkinen dalam satu pengumuman mengejutkan pada 9 April memaklumkan hasrat beliau untuk kembali ke litar perlumbaan.

Mika Häkkinen adalah juara dua kali Formula 1 pada 1998 dan 1999 dan pernah bersama dengan pasukan Lotus dan McLaren.

Mika Häkkinen memulakan kerjaya dalam Formula 1 pada tahun 1991 di Amerika Syarikat dan bersara pada tahun 2001 selepas perlumbaan di Jepun.

Pada 2005 beliau kembali ke arena profesional dan bersaing dalam perlumbaan DTM. Beliau bersara sepenuhnya pada penghujung tahun 2007.

Mika Häkkinen akan menyarung kembali sut perlumbaan dan bersaing di litar Suzuka Jepun dengan jentera McLaren, jenama yang sama 20 tahun lalu sewaktu beliau menjuarai Formula 1.

Pelumba yang berasal daripada Finland itu akan menyertai perlumbaan ketahanan Suzuka 10 jam dengan jentera McLaren 720S GT3.

Häkkinen akan berganding bahu dengan dua lagi pelumba iaitu Hiroaki Ishiura yang merupakan juara dua kali Super Formula dan Katsuaki Kubota pelumba Formula 3 Jepun.

Mereka bertiga akan bersaing menggunakan McLaren 720S GT3 dalam pusingan keempat Intercontinental GT Challenge Powered by Pirelli pada Ogos depan.

Häkkinen yang menjuarai dua kali Formula 1 berturut-turut dengan McLaren mempunyai momen istimewa di Suzuka apabila kejayaannya dinobatkan di litar tersebut.

Tokoh yang turut dikenali sebagai Fying Finn kembali memandu kereta kejuaraan MP4/13 tahun lalu sempena pusingan demonstrasi di Grand Prix Jepun bagi meraikan ulang tahun ke-20 kejayaannya.

McLaren menawarkan kereta lumba 720S GT3 kepada pasukan berminat  dan kini telah menyertai pelbagai perlumbaan global.

Setakat ini model tersebut telah berjaya menunjukkan kebolehannya dengan menduduki petak utama perlumbaan dan kejayaan pada perlumbaan sulung di Melbourne, Australia.

Penyertaan semula Häkkinen ke perlumbaan arus perdana adalah sesuatu yang menarik. Beliau sebenarnya masih ‘muda’ dan bakal berusia 51 tahun pada September depan.

Google ads
Back to top button