
LEPAS 4X4 BERKUBANG, KENA BASUH UNDERBODY. BARU TAHAN LASAK
Beberapa tahun lepas, Toyota Hilux milik penulis digunakan dalam satu projek pemasangan panel solar di Pantai Timur. Faham-faham sahajalah bila masuk kawasan projek memang infrastruktur asas kawasan tersebut seperti jalan raya yang berturap memang tak ada langsung. Jalan yang ada hanyalah jalan tanah merah bercampur pasir
Bila cuaca kering dan panas, keadaan jalan menjadi sangat berdebu dan berhabuk. Apabila tiba musim hujan, jalan menjadi sangat berlumpur dan berselut. Pada mulanya penulis merasakan tiada apa isu yang perlu dibimbangkan. Memang ini habitat semulajadi Toyota Hilux, bukannya kami guna Myvi untuk masuk ke construction site

Malangnya selepas beberapa bulan digunakan terdapat beberapa kerosakan kecil yang berlaku, tak teruk tapi ia sangat mencederakan poket penulis. Ini termasuklah:
1. Brek terasa tidak mengigit seperti dulu. Walaupun kami menukar pad brek dan menukar cecair brek yang baru hasilnya tetap sama. Pemeriksaan dengan alatan khas di pusat servis Toyota mendapati terdapat lumpur yang melekat pada angkup brek, pin angkup brek dan juga piston brek
Kos servis merangkumi proses servis dan menukar beberapa komponen brek (lup komponen apa yang ditukar) dengan kos mencecah sehingga RM 400++ (atau lebih)
2. Kegagalan sistem penyaman udara disebabkan lumpur telah memasuki liang udara kondenser serta habuk yang memasuki aircond fan serta cooling coil. Kondenser, expansion valve dan beberapa komponen lain perlu ditukar dengan kos RM 1200++

Ya habuk dan lumpur dari persekitaran boleh mengotorkan kenderaan 4×4 anda, menyebabkan kegagalan sistem serta kos pembaikan yang mahal dan makan modal. Sebenarnya ini semua boleh dielakkan jika penulis mengambil langkah pencegahan dengan membasuh Toyota Hilux penulis dengan kerap selepas keluar daripada construction site

Bukan basuh secara biasa, tapi membasuh under body kenderaan 4×4 di pusat basuh kereta yang memiliki ramp. Apabila kenderaan 4×4 menaiki ramp, ia akan membenarkan air disembur pada bahagian bawah kenderaan yang sukar dicapai. Dengan ini semua lumpur-lumpur yang melekat pada cesi, tayar, sistem brek dan lain lain komponen akan dihilangkan

Kekerapan untuk melakukan proses cucian underbody ini sebenarnya bergantung pada keadaan persekitaran site dan juga keadaan lumpur yang melekat pada kenderaan 4×4 anda. Kalau keadaan teruk, lebih baik cuci dengan kerap dan ketika baru keluar dari hutan atau tapak pembinaan.
Ini kerana jika lumpur tersebut telah menjadi keras, ia menjadi semakin susah untuk dicuci dan boleh merosakkan komponen lain seperti brek. Anggaran kos cucian adalah sekitar RM 20-30 bergantung pada keadaan kenderaan anda. Kalau kerap sangat anda masuk ke hutan atau tapak pembinaan, adalah lebih baik beli satu water jet untuk digunakan bagi proses cucian.
