Buletin

LEXUS GX 2024, BANGKIT NOSTALGIA JIP LAMA, 3.5L TURBO V6, 2.4L TURBO HIBRID

Lexus perkenal GX di Texas. Satu jenama yang berirama dengan sebutan negeri di Amerika Syarikat tersebut. GX 2024 yang diperkenalkan adalah dari generasi ketiga untuk sebuah model yang berada di pasaran sejak 2002.

Tradisi Lexus sebelum ini ialah berkongsi model dengan Toyota dan dua generasi GX terdahulu dijenamakan dan diubahsuai daripada Toyota Land Cruiser J120 dan J150.

GX 2024 menggunakan platform baharu GA-F yang dikongsi dengan LX 2021 (J310) dan binaan badan di atas kerangka. 

Anehnya tiang C dan bentuk tingkap sisi belakang LX 2021 menyamai Land Cruiser J90 (generasi kedua), J120 dan J150.

GX 2024 pula kembali kepada era Land Cruiser Prado J70 (generasi pertama) dengan tiang A yang hampir tegak dan badan berkotak.

Lexus merekabentuk GX 2024 dengan konsep The Premium Off-Roader dan jelas boleh dilihat pada penampilannya. Dari segi kedudukan, GX disusun di antara LX dan RX.

GX digerakkan dua pilihan enjin iaitu 3.5 liter V6 turbo berkembar dan 2.4 liter turbo hibrid dan kedua-duanya menggunakan pacuan empat roda (4WD).

GX mempunyai ukuran panjang 4,950 mm, lebar 1,980 mm, tinggi 1,865 mm dan jarak roda 2,850 mm. Berdasarkan varian, ada tiga saiz roda iaitu 18, 20 dan 22 inci.

Casis GX diperkukuh dan Sistem Stereng Kuasa Elektrik (EPS) digunakan bagi mendapatkan falsafah Lexus Driving Signature. Geometri suspensi dioptimum untuk kestabilan pemanduan yang cemerlang. 

Suspensi belakang menggunakan tetapan tegar (rigid suspension) dengan tambahan gerakan (naik dan turun/articulation) roda untuk lebih cengkaman.

Lexus turut menala respon pedal pendikit dan brek supaya mudah dikawal pemandu walaupun di laluan mencabar dan di atas permukaan jalan tidak rata.

Satu sistem canggih yang dilengkapi pada GX varian Overtrail ialah E-KDSS atau Electronic Kinetic Dynamic Suspension. 

Sistem itu boleh mengunci atau membebaskan bar anti goleng depan dan belakang secara berasingan dan meningkatkan lagi jarak naik dan turun roda dan sangat berguna di laluan off-road.

GX Overtrail juga dilengkapi sistem kawalan brek canggih Multi-Terrain Select dan Crawl Control dan tayar all-terrain (AT) bagi mengharungi pelbagai bentuk muka bumi.

Sudut pelepasan depan (approach) ialah 26 darjah, 23 darjah untuk bahagian tengah (breakover) dan sama 23 darjah pada sudut belakang (departure).

Keadaan persekitaran dan situasi mencabar boleh diawasi melalui skrin Multi-Terrain Monitor.

Satu lagi yang istimewa pada GX Overtrail ialah kerusi khas yang mengurangkan goncangan kepala ketika melalui jalan yang kasar dan mengurangkan keletihan penumpang.

Diperkenal di Texas tidak bermakna GX untuk Amerika Syarikat sahaja dan bakal ditawarkan ke pasaran global lain. Peminat SUV lasak sebegini ada di merata-rata tempat.

BACA: LEXUS LC 500 ULTIMATE EDITION 5.0L V8, MODEL COUPE DAN BUKA BUMBUNG!

BACA: LEXUS LBX, SUV KECIL PLATFORM GA-B, 1.5L 3 SILINDER HIBRID

BACA: LEXUS LM 2024. HIBRID TURBO 2.4L DAN 2.5L, 4, 6 & 7 TEMPAT DUDUK, SKRIN 48″

Google ads
"
"
Back to top button