Buletin

LUMIN CORN EV ‘CILIK’ TERBAHARU CHINA

Changan Lumin Corn merupakan kenderaan elektrik (EV) terbaharu buatan China yang memiliki dimensi kecil.

Ia dijangka bakal memberi saingan kepada Wuling Mini EV yang merupakan model EV jualan terbaik negara terbabit.

Lumin Corn dibangunkan Changan New Energy dan CATL menggunakan platform EPA0 Changan didatangkan dengan ukuran 3,270 mm panjang, 1,700 mm tinggi, 1,545 mm lebar serta jarak roda 1,980 mm.

Dengan rupa paras yang kompak, ia tidak mengejutkan jika dilengkapi dua pek bateri berkapasiti 12.92 kWh dan 17.65 kWh.  

Ia mampu menjana jarak jangkauan perjalanan sehingga 155 km (12.92 kWh) dan 210 km (17.65 kWh).

Menurut laporan Car News China, para pelanggan boleh membeli Lumin Corn dengan bateri lebih besar 27.99 kWh yang mampu mencatat jarak perjalanan lebih jauh 301 km dalam masa terdekat.

Kesemua varian kenderaan dua pintu bakal dijual itu akan dilengkapi motor elektrik yang mampu menjana kuasa 41 hp.

Dari segi rekaan, EV terbaharu berkenaan menampilkan gaya moden dan sporty dengan didatangkan lampu utama berbentuk bulat, gril kecil terletak kemas pada bahagian bawah pemegang nombor plat dan rim aerodisc berwarna hitam serta putih.

Ruang dalaman pula, ia hadir dengan kluster instrumen digital dan skrin infotainmen 10.25 inci, butang kawalan iklim dan roda stereng tiga spoke.

Selain itu, Lumin Corn mendapat sentuhan premium kulit dan fabrik dalam menyerlahkan lagi sisi premium kabin EV tersebut.

Changan masih belum mendedahkan harga EV terbaharu berkenaan tetapi akan dilancarkan pada separuh kedua tahun ini. – carscoops

Google ads
Back to top button