Buletin

LYNK & CO. AKAN LANCAR KERETA IKUT MUSIM, BUKAN TAHUN – HIPSTER BETUL!

Dalam banyak-banyak jenama pengeluar kenderaan dari China, saya secara peribadinya kagum dengan anak syarikat Geely, Lynk & Co.

Walaupun namanya memang kedengaran macam kedai kopi hipster yang jual air kopi mahal nak meninggal, tetapi Lynk & Co. memang suka buat sesuatu yang luar daripada norma industri automotif dunia.

Terbaharu, dalam temuramah dengan Automotive News, Naib Presiden Lynk & Co., Alain Visser memberitahu pihaknya akan melancarkan kereta tidak lagi mengikut tahun. Sebaliknya mengambil inspirasi industri fesyen apabila memperkenalkan model baharu dengan warna berbeza mengikut musim.

BACA: SAHAM GEELY MELONJAK SELEPAS BERITA BELI SAHAM PROTON TERSEBAR

Bukan itu sahaja, ia juga tidak akan menggunakan nama untuk model-model keluarannya seperti pengeluar lain. Tetapi, hanya membezakan produknya menerusi nombor, bermula dengan 01, kemudian 02 dan seterusnya.

Sedia maklum bahawa Lynk & Co menggunakan model jualan terus kepada pengguna seperti Tesla. Model jualan itu juga membolehkan pelanggan memandu kereta tanpa perlu membelinya.

BACA: SUV MASA DEPAN LYNK & CO. 01

Menurut Visser, golongan millennial tidak berminat untuk memiliki kereta, tetapi mahu terus berhubung. Dari situlah datangnya idea langganan kenderaan tersebut.

Apa yang lebih menarik, sistem pajakan Lynk & Co. tidak memerlukan pelanggan untuk membayar wang pendahuluan. Mereka hanya perlu membayar tempoh kereta itu digunakan.

“Saya yakin jika anda mencipta satu jenama kereta yang baru, lakukan secara berbeza. Jadi lebih kreatif,” kata Visser.

Lynk & Co dijadual melancarkan model pertamanya, 01 di pasaran China menjelang hujung tahun ini, sebelum diperluaskan ke Eropah dan Amerika Syarikat.

Varian standard 01 akan menampilkan rangkaian kuasa hibrid. Sementara versi elektrik pula bakal ditawarkan lewat sedikit.

GALERI

Google ads
Back to top button