Modifikasi

MACAM MANA NAK JADIKAN KERETA ANDA LAJU? NAMPAK MACAM STANDARD

Anda baru saja beli sebuah kereta baru yang amat selesa untuk perjalanan jauh dan dekat. Penggunaan petrol juga menjimatkan. Anda bukanlah gemar memasang Racing Inspired Cosmetic Enhancement (RICE) seperti lampu lip-lap di bawah bampar, rim besar sampai tersagat tayar ataupun bodykit yang merepek. Anda cuma perlukan sedikit modifikasi untuk jadikan kereta baru anda lebih sedap.

Jadi kami akan kongsikan beberapa perkara yang menjadikan kereta anda lebih laju di selekoh dan di jalan lurus. Nampak macam biasa, tapi bila ditekan rapat prestasiya boleh dipuji.

1. Tayar – tayar sebenarnya memainkan peranan penting dalam proses pecutan, prestasi brek dan juga berapa halaju maksimum yang anda boleh pandu di selekoh. Tahukah anda untuk model segmen A dan B kebanyakan tayar yang dipasang di kilang adalah tayar biasa sahaja dan paling murah yang boleh dibeli.

Kadangkala pengeluar akan meminta syarikat tayar menghasilkan tayar dengan spesifikasi yang lebih rendah agar mereka dapat membeli tayar pada harga yang ditetapkan oleh pengeluar kereta. Jadi tidak hairanlah jika tayar standard dari kilang tidak mampu memuaskan hati penulis.

Tayar boleh dibahagikan kepada beberapa kategori seperti tayar untuk keselesaan yang juga dikenali dengan Eco tyre (comfort based), kategori pertengahan yang lebih baik dari Eco Tyre, kategori Sport dan akhir sekali kategori untuk prestasi. Biasanya saiz tayar yang datang dengan kereta akan dipasang dengan tayar Eco atau paling murah yang boleh didapati.

Jadi sekiranya anda mendapati tayar standard anda berkokok ketika mula memecut, mengambil selekoh dengan laju, mudah terbabas ketika hujan dan terseret (lock up) ketika brek kecemasan maka jalan terbaik ialah menukar tayar asal kepada jenama dan jenis tayar yang lebih baik. Anda mungkin akan terkejut dengan perbezaan yang dihasilkan.

Penulis lebih suka menukar tayar sahaja berbanding dengan menukar rim yang lebih besar dan tayar besar disebabkan faktor kos. Kadangkala rim asal yang dibekalkan oleh pengeluar lebih berkualiti dari jenama Vossen cap Taiwan dan ayam.

2. Sistem Brek – selain suka membiarkan minyak brek bertukar menjadi hitam seperti kopi, tabiat pengguna Malaysia ialah malas nak ambil tahu pasal keadaan pad brek. Kalau boleh nak tukar yang murah walaupun jenama kereta H dan T sebab pad brek OEM mahal katanya.

Pad brek yang mahal biasanya datang dengan ketahanan suhu yang lebih tinggi kerana suhu adalah faktor yang mempengaruhi prestasi brek. Jika pad brek menjadi mudah panas, ia akan mengalami fenomena brake fade dimana brek gagal menghasilkan geseran yang cukup untuk menghentikan kereta.

Jika ada duit lebih, naiktaraf pad brek OEM kepada pad brek dengan prestasi yang lebih baik. Ia membenarkan anda untuk membrek lambat tapi masih mengekalkan jarak brek yang sama dengan brek OEM. Bayangkan anda mengejar kereta di depan bukan dengan kuasa enjin, tapi dengan kaedah brek selewat mungkin sebelum memasuki selekoh.

3. Bar anti oleng atau bar penstabil – kebanyakan kereta jenama murah yang diuji oleh penulis tidak memliki ketegaran cesi yang cukup dalam keadaan laju. Terasa cesi mengalami flex atau pengagihan berat (dari depan ke belakang atau bahagian kiri ke kanan) ketika membrek, mengambil selekoh dan memecut berlaku dengan kasar

Kalau teruk sangat anda boleh mengalami over steer dan understeer. Jadi fahami dulu keadaan kereta anda sewaktu memandu laju. Adakah anda boleh terima dengan kadar olengan cesi sewaktu selekoh dan fenomena brake dive ketika membrek dan squat ketika memecut? Kalau teruk sangat mungkin anda boleh pertimbangkan pemasangan bar anti oleng

Kami telah mengulas perkara ini dengan panjang lebar di SINI.

4. Penapis udara – yang memilki rintangan rendah seperti jenama K&N menghasilkan rintangan udara yang lebih rendah berbanding dengan penapis udara OEM. Lebih banyak udara masuk, lebih banyak petrol boleh dibakar dan ia menghasilkan lebih kuasa kuda antara 2.5% ke 4%. Sekiranya kereta anda menghasilkan 100 kuasa kuda, 4 kuasa kuda tambahan membolehkan anda mendaki bukit dengan lebih baik

Namun secara peribadi penulis lebih sukakan penapis udara OEM berbanding dengan penapis udara prestasi tinggi kerana penulis mahukan udara tersebut ditapis dengan spesifikasi asal sebelum dimasukkan dalam silinder.

5. Sistem gantungan – yang terdiri daripada 2 komponen iaitu spring dan penyerap hentak. Spring bertindak memastikan tayar sentiasa bersentuhan dengan jalan dan penyerap hentak menerima load dari permukaan jalan yang tidak rata dan menghentikan ayunan spring.

Menggunakan spring sport yang lebih pendek akan merendahkan pusat graviti dan membenarkan kereta memiliki pengendalian yang lebih baik. Namun ia akan memendekkan jarak ayunan spring dan mengganggu keselesaan penumpang. Penyerap hentakan yang keras pula akan memburukkan lagi keadaan.

Penulis lebih suka menggunakan sistem spring dan penyerap hentakan yang asal, namun mengubah profail ketebalan tayar daripada tinggi kepada rendah. Sebagai contoh menukar profail 65% kepada 60% akan menurunkan ketinggian tayar sebanyak 5% dengan menggunakan rim yang sama.

6. Minyak enjin – akan memastikan pergerakan piston, aci engkol dan aci sesondol berjalan dengan lancar. Bagi memastikan enjin anda rev-happy penulis lebih suka menggunakan minyak sintetik penuh kerana molekul atom pada minyak sintetik penuh. Cari gred yang diakui berkualiti seperti ILSAC-GF5

Sedih kami tengok bila sembang berbuih mulut pasal racing dan motorsport, tapi bila servis cari minyak recycle. Penulis sendiri telah menaiktaraf minyak enjin dari standard pusat servis kepada minyak yang berjenama dan perbezaan yang ketara ialah bila masuk perbatuan ke 9000km, ia masih lagi memberikan prestasi yang cemerlang.

Jadi jika dibuat dengan betul, kereta anda mungkin nampak standard gaban dan biasa sahaja. Namun dalam keadaan pemanduan laju, prestasinya boleh dipuji.

Tags
Google ads
Back to top button