MAZDA CX5 2.0, 19.4KM/LITER. SIAPA KATA SUV TAK JIMAT?
Mazda CX-5 merupakan SUV popular, sehingga Mazda meletakkan pelbagai pilihan enjin pada SUV segmen C ini daripada enjin 2500cc petrol turbo, enjin 2500cc petrol aspirasi normal (NA), enjin 2200 diesel dengan turbo berkembar dan juga enjin 2000cc aspirasi normal petrol.
Varian 2000cc petrol NA merupakan varian yang paling murah yang ditawarkan oleh Mazda dengan harga permulaan sekitar RM 149,800 bagi varian 2.0 Mid. Dari segi penampilan, varian 2.0 Mid dan varian 2.0 High dipasang dengan rim 17 inci satu warna sahaja.
Manakala bagi lampu depan, varian 2.0 Mid akan menggunakan lampu depan LED lengkap dengan projektor. Hanya varian 2.0 High diberikan teknologi Adaptive Front Light System (lampu depan berpising mengikut arah stering) dan juga Auto High Beam selain sensor parkir depan
Varian 2.0 Mid juga tidak diberikan spoiler pada bahagian belakang serta pintu ruang kargo berkuasa elektrik manakala varian 2.0 High diberikan semua ciri di atas. Memasuki ruang kabin, perbezaan antara varian 2.0 High dan 2.0 Mid menjadi semakin kecil dengan perbezaan utama ialah penggunaan kusyen balutan kulit bagi varian 2.0 High manakala varian 2.0 Mid menggunakan balutan fabrik.
Semua varian 2.0 ditawarkan dengan skrin multimeduia 8 inci lengkap dengan Apple Car Play tanpa wayar dan Android Auto sambungan wayar. Meter utama pula menggunakan jarum analog dan juga skrin 4.6 inci untuk paparan maklumat tambahan.
Kusyen juga tidak diberikan ciri penyejukan dan hanya ditawarkan dengan ciri bantuan kuasa elektrik 4 pilihan serta 2 memori. Sama seperti varian yang lain, 2.0 High diberikan ciri yang sama seperti paddleshifter untuk kawalan gear secara manual dan pengecaj telefon tanpa wayar
Kusyen di bahagian belakang boleh dilipat kepada 3 bahagian dalam ratio 40:20:40, corong penyaman udara dan kusyen belakang yang boleh diubah sudut penyandar belakang. Ruang kargo adalah sekitar 442 liter dan boleh dibesarkan menjadi 1340 liter bila kusyen belakang dilipat sepenuhnya.
Enjin 2000cc 4 silinder aspirasi normal ini masih berupaya memberikan kuasa sehingga 162 kuasa kuda dan 213Nm tork seawal 4000 RPM. Dengan nisbah mampatan sehingga 13:1 serta ratio gear yang panjang, Mazda memberikan purata penggunaan bahan api sekitar 14.5km bagi setiap liter petrol.
Namun jika anda kekal memandu pada halaju 110km/jam di atas lebuh raya, CX-5 mampu menawarkan penjimatan sehingga 19.4km bagi setiap liter petrol. Satu tangki penuh Mazda CX-5 membolehkan penulis memandu antara 550km ke 600km bagi pemanduan seharian termasuk melalui jalan bandar
Untuk pemanduan seharian, gabungan transmisi dan operasi enjin menawarkan pemanduan yang selesa dan lancar. Mazda menggunakan ratio gear yang sama untuk Mazda CX-5 samaada varian 2.0, 2.5 NA, 2.5 Turbo atau 2.2 Turbodiesel.
Jadi bagi varian yang berkuasa seperti 2.5 Turbo dan 2.2 Turbodiesel, ia tiada isu besar untuk memecut dengan pantas bagi memotong kereta yang perlahan. Bagi varian 2.0 NA yang hanya menawarkan 162 kuasa kuda, ia nampak seperti cukup berkuasa tetapi untuk memandu CX-5 dengan agresif, anda perlu menggunakan butang Sport dan juga bermain dengan paddleshifter
Pun begitu, ia seperti meneran jika diperah terlalu agresif. Paling bagus anda perlu memandu CX-5 ini dengan santai seperti pemandu yang normal seperti orang lain. Penggunaan rim 17 inci juga sebenarnya memberikan kerekter tersendiri pada CX-5.
Selain geseran golek yang lebih rendah dan penggunaan bahan api yang lebih efisyen, tayar yang lebih tebal menawarkan keselesaan yang lebih bagus apabila melalui permukaan jalan yang tidak rata. Jarak kelegaan bumi direndahkan kepada 185mm, sekaligus mengurangkan olengan cesi dan pergerakan pitch pada cesi
Prestasi brek adalah sama seperti CX-5 yang lain, tetapi masih tidak boleh melawan cengkaman yang ditawarkan oleh Mazda CX-30 yang menggunakan platform serba baru. Dalam aspek keselamatan, varian 2.0 Mid tidak menawarkan ciri ADAS termasuk kamera 360 darjah, sebaliknya menggunakan kamera mengundur yang biasa sahaja
Manakala varian 2.0 High yang ditawarkan pada harga RM 163,800 menawarkan ciri Mazda i-ActiveSense yang merangkumi kamera 360 darjah, sistem amaran titik buta, amaran lintasan trafik belakang, Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, AEB depan dan belakang, serta pemanduan Adaptif Mazda Radar Cruise Control lengkap dengan Stop & Go Traffic
Tapi anda perlu ingat, harga varian 2.0 High bertambah sebanyak RM 14,000 bagi memastikan semua ciri keselamatan ditawarkan. Bagi penulis, peningkatan harga adalah terlalu tinggi dan juga kualiti gambar yang ditawarkan adalah tidak cukup bagus bagi penulis.
Namun bagi pembeli yang mencari sebuah SUV untuk memuatkan 5 penumpang dengan selesa, CX-5 2.0 High adalah pilihan yang mencukupi, ia lebih besar daripada CX-3 dan juga CX-30 serta harga yang ditawarkan masih lagi sedap didengar.