Buletin

TULAR ‘KIA CHALLENGE’ DI TIKTOK, KES KECURIAN KERETA GUNA KABEL USB MENINGKAT

Video bertajuk ‘Kia Challenge’ di TikTok dan Youtube yang tular menyebabkan kes kecurian kereta meningkat kerana video itu memaparkan langkah-langkah untuk mencuri kereta dengan hanya menggunakan kabel pengecas USB.

Video tersebut dimuat naik di atas talian termasuk oleh akaun 414HypeHouse. Ia menunjukkan pencuri kereta jenama Kia dan Hyundai menanggalkan kolum bawah berhampiran stereng dan menggunakan kabel USB untuk menghidupkan kereta yang dicuri.

Terdapat juga video menunjukkan pencuri yang digelar sebagai “Kia Boys’ – memandu kereta yang dicurinya dengan melanggar lalu merosakkannya.

Di Milwaukee, Wisconsin, di mana trend tersebut bermula, model Hyundai dan Kia menyumbang 66 peratus daripada kecurian kereta. Carbuzz melaporkan kecurian kereta telah meningkat sebanyak 2,500 peratus berbanding tahun lalu.

Jabatan Polis di St. Petersberg, Florida berkata pihaknya melihat satu trend yang luar biasa berhubung kes kecurian kereta melibatkan posting di media sosial.

“Sejak 11 Julai, 23 daripada 56 kereta yang dicuri ialah jenama Kia dan Hyundai model 2021 dan lebih lama yang menggunakan kunci untuk dihidupkan,“ tulis Jabatan Polis tersebut di Twitter.

“Sesiapa yang memiliki Kia atau Hyundai yang menggunakan kunci sila #lockitup.”

Model Kia dan Hyundai turut menjadi sasaran di Arlington, Texas dan Cincinnati, Ohio. Model Kia dari tahun 2011 sehingga 2012 dan Hyundai dari 2015 sehingga 2021 disasarkan kerana terdapat ‘kelemahan’ yang membolehkan mereka menghidupkan enjin apabila kolum stereng telah rosak.

Insiden tersebut menjadi bahaya apabila suspek dan pejalan kaki mengalami kecederaan yang serius atau terbunuh kerana pemanduan berbahaya dan kemalangan yang berkaitan dengan kes kecurian.

Kia dan Hyundai menyedari insiden kecurian tersebut dan semua kenderaan keluaran jenama mereka memenuhi piawaian keselamatan kenderaan.

Google ads
Back to top button