
MAS2024: CYCLONE MASUK MALAYSIA DENGAN 3 MODEL BAHARU – DARI RM5,888
MForce Bike Holdings melancarkan model kapcai baharu dari jenama Cyclone menerusi MK125 Classic yang bakal menyaingi pasaran kapcai adventure di Malaysia.
Segmen kapcai ‘adventure’ semakin mendapat perhatian di Malaysia terutamanya menerusi pelancaran Aveta Ranger Max 130.

Bagaimanapun, peminat kini mempunyai pilihan yang lebih luas dengan pelancaran MK125 Classic.
Atas kertas, MK125 Classic ini dipacu enjin satu silinder 119.9cc SOHC dengan sistem penyejukan udara yang berupaya mencerna 8.7hp pada 7,500rpm dan 9Nm pada 5,500rpm. Bukan memfokuskan prestasi, MK125 Classic ini hanya mampu merekodkan ‘top speed’ sekitar 90km/j sahaja.




Antara ciri ditawarkan termasuk:
- penghidup elektrik/kaki
- cakera brek depan, dan brek dram belakang
- rim aloi 17-inci
- berat 102kg
- tangki bahan api 4.5L
Menariknya, bagi pasaran Malaysia, MK125 Classic ini hadir dengan top box, jerry can dan penghadang angin secara standard. Menurut MForce, MK125 Classic ini boleh didapati pada harga RM5,888 sahaja.

Dalam perkembangan sama, Cyclone turut memperkenalkan dua lagi model menerusi RT2E dan RX600 dengan masing-masing mengisi segmen skuter dan adventure. Untuk pasaran Malaysia, RX600 ini dijual pada harga RM29,888.





Cyclone RX600 merupakan motosikal adventure yang dipacu enjin parallel-twin 550cc 8-valve dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menjana 58hp dan 55Nm. Selain enjin, Cyclone juga dakwa motosikal ini hadir dengan kerangka yang dibina khas untuk tunggangan lasak dan ‘off-road’.
Antara ciri lain ditawarkan termasuk:
- penghadang angin boleh laras
- lampu LED penuh dengan DRL (daytime running light)
- tangki 18L (Cyclone dakwa mampu capai 500km dengan tangki penuh)
- fork depan USD boleh laras
- rim 19-inci depan, 17-inci belakang (tubeless)
- ABS dwi-saluran (boleh dinyahaktif)
- traction control (boleh dinyahaktif)
Akhir sekali, MForce turut memperkenalkan skuter gaya retro menerusi RT2E yang ditawarkan pada harga RM13,888.

Cyclone RT2E dikuasakan enijn satu silinder 250cc DOHC yang berupaya menjana 24hp pada 7,500rpm dan 24.5Nm pada 6,500rpm.
Skuter gaya retro ini menawarkan berat 162kg dan ketinggian tempat duduk 750mm sekaligus menjadikannya sesuai untuk semua jenis penunggang.




Antara kelengkapan ditawarkan temrasuk panel meter TFT berwarna, lampu LED penuh (depan dan belakang) dengan DRL (lampu nyalaan siang), rim 12-inci depan dan belakang serta tangki berkapasiti 13L.