
MALAYSIA AUTOSHOW 2023: MODENAS LANCAR DOMINAR D400 ADVENTURE & D250. BERMULA RM14K
Selain tiga model Kawasaki, Modenas turut melancarkan dua model Dominar ke pasaran tempatan pada acara Malaysia Autoshow (2023), di MAEPS, Serdang, Selangor. Ia merupakan penambahan buat model D400 yang sudah sedia ada di pasaran.

Modenas Dominar D400 Adventure
Modenas D400 Adventure kini dilengkapi enjin yang memenuhi piawaian Euro 4. Ia dilengkapi aksesori touring seperti yang ditawarkan di India.
Antara aksesori touring yang dipasang iaah visor angin lebih tinggi, pelindung tangan, pelindung kaki, pelindung enjin dan penyandar untuk penumpang belakang.
Bukan itu sahaja, D400 Adventure didatangkan dengan pemegang telefon, slot pengcas USB dan sistem perisian navigasi.

Dominar 400 Adventure dijana oleh enjin 373cc DOHC FI berkuasa 40PS pada 8,650rpm dan tork 35Nm @ 7,000rpm yang dipadankan dengan kotak gear 6-kelajuan.
Untuk keselesaan tunggangan, Dominar 400 menggunakan suspensi teleskopik USD 43mm (depan) dan monoshock (belakang). Tugas membrek pula diserahkan kepada brek cakera 320mm (depan) dan 230mm (belakang) dengan ABS dua saluran.
Ditawarkan dengan dua pilihan warna Savanna Green dan Charcoal Black, Dominar 400 Adventure boleh anda miliki pada harga RM15,797 seunit.

Modenas Dominar D250
Modenas turut memperkenalkan Dominar D250 buat pertama kali ke pasaran Malaysia.
Menjadi model lebih kecil kepada D400, jentera touring itu dilengkapi enjin 248.77cc DOHC silinder tunggal FI. Ia mampu menjana kuasa 26.6hp @ 8,500rpm dan tork 23.5Nm @ 6,500rpm yang dipadankan dengan kotak gear 6-kelajuan.
Daripada segi rekaan, D250 nyata tidak jauh berbeza dengan D400 dengan adanya madgad depan, lampu utama, kapasiti tangki minyak dan dua ekzos.

Jentera seberat 180kg itu dipasang dengan fork teleskopik USD 37mm (depan) dan monoshock boleh laras dengan Nitrox (belakang).
Dominar D250 menggunakan brek cakera 300mm (depan) dan brek cakera 230mm (belakang) serta dua saluran ABS di depan/belakang.
Hadir dalam tiga pilihan warna iaitu Sparkling Black, Racing Red dan Citrus Rush, Modenas D250 ditawarkan pada harga RM13,797 seunit.
GALERI
















