Buletin

MALAYSIA AUTOSHOW 2023: HAVAL H6 HIBRID, 239HP/530NM, ANGGARAN HARGA BERMULA RM143K

Model nombor satu di pasaran China, Haval H6 hibrid akhirnya didedahkan kepada umum bersempena acara Malaysia Autoshow 2023.

Haval H6 hibrid dibina berdasarkan platform LEMON dan mempunyai dimensi panjang 4,623mm, lebar 1,886mm, tinggi 1,730mm dengan jarak roda 2,738mm. Dari segi saiz, Haval H6 HEV berukuran hampir sama dengan Honda CR-V atau Peugeot 5008.

Di bahagian dalam, Haval H6 HEV mendapat kemasan upholsteri kulit pada tempat duduk, papan pemuka dan stereng selain, pelarasan tempat duduk elektrik 8-hala untuk pemandu.

Model itu turut disertakan bersama kluster instrumen digital 10.25-inci, sistem infotainmen skrin sentuh 12.3-inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Dari segi kuasa, Haval H6 HEV dijana oleh enjin turbo 1.5 liter empat silinder dengan sokongan sistem hibrid. Menerusi enjin, ia menghasilkan 145hp dan tork maksimum 230Nm, sementara kuasa gabungan motor elektrik berupaya menghamburkan kuasa 239hp dan tork 530Nm.

Haval H6 HEV dibekalkan ciri keselamatan aktif dan pasif, termasuk 6 beg udara, kawalan kestabilan elektronik, bantuan menuruni bukit dan bantuan permulaan bukit serta kamera 360 darjah.

Ciri ADAS moden seperti brek kecemasan automatik, amaran perlanggaran ke hadapan, kawalan pelayaran adaptif, amaran berlepas lorong dan bantuan terus lorong didatangkan sebagai standard.

Tiada pengumuman rasmi mengenai harga, namun Haval H6 HEV dijangka ditawarkan bermula RM143,000.

GALERI:

Google ads
Back to top button