Buletin

MAS 2024: PERODUA DEDAH PROTOTAIP EV – MYVI CONVERSION

Perodua hari ini telah mempamerkan prototaip kenderaan elektrik (EV) pertamanya – dikenali sebagai Myvi Conversion di Malaysia Auto Show 2024.

Menurutnya, ia akan menjadi asas kepada pembuat kereta kompak itu dalam membangunkan teknologi elektriknya.

Prototaip EV berkenaan terdiri daripada tiga komponen utama iaitu bangku pengujian kuasa (power bench), rangkaian penggerak kuasa (power converter) dan rekaan keseluruhan rangkanya yang dibuat di Malaysia manakala pembangunan teknologi penukaran kuasa dilakukan oleh syarikat berpangkalan di Australia.

“Proses pembangunan bangku pengujian kuasa ini dibuat oleh Perodua dengan kerjasama dari tiga universiti tempatan iaitu Universiti Tenaga Nasional, Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Putra Malaysia.

“Kerjasama ini bertujuan untuk memahami sepenuhnya teknologi yang digunakan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

Kerjasama berkenaan, yang bermula sejak September 2022, menyaksikan Perodua dan ketiga-tiga universiti terbabit bekerjasama untuk membangunkan rangkaian penggerak kuasa EV dari peringkat asas.

Tambahnya lagi, kerjasama tersebut membuka peluang kepada semua pihak untuk meningkatkan kepakaran dan kemampuan masing- masing dalam bidang EV.

“Ini adalah permulaan bagi kami dan kami mahu menjadikan permulaan ini dekat dengan hati rakyat Malaysia,” kata Dato’ Sri Zainal.

“Walaupun rupa sebenar EV kami berbeza daripada apa yang dipamerkan di sini, tetapi yakinlah bahawa kereta elektrik Perodua bakal membuat kemunculan dalam pasaran.”

Google ads
Back to top button