
TANDA-TANDA EKZOS KERETA ANDA SUDAH JAHANAM
Ekzos seperti yang kami ulas dalam artikel sebelum ini adalah satu komponen yang amat jarang sekali dilihat atau diusik oleh pemandu amatur seperti penulis melainkan anda. Melainkan anda memang berminat menghasilkan bunyian yang best untuk santapan halwa telinga jiran anda.
Berdasarkan pengalaman penulis, setelah memandu selama 15 tahun, barulah pertama kali penulis menjejakkan kaki ke bengkel ekzos selepas ekzos Vivafire berkarat dan patah di bahagian tengah. Jadi kami akan kongsikan beberapa tanda yang ekzos anda mulai bermasalah
1. Bunyi yang lebih kuat – biasanya kalau ada kebocoran pada mana-mana komponen ekzos, anda akan perasan bunyi ekzos lebih kuat daripada biasa. Seakan-akan bunyi ekzos motorbot nelayan laut dalam, bunyi berdesis atau pergerakan gas yang tak sekata. Bunyi ini paling kuat dihasilkan ketika waktu pagi dan melakukan pecutan.

2. Kuasa enjin semakin lemau dan pecutan macam siput khinzir – tanda kedua yang boleh dirasakan ialah pecutan kereta semakin hambar disebabkan enjin kehilangan kuasa. Kalau dulu takat nak kejar VTEC perang sekejap je dapat, la ni potong Kancil 660 pun takut.
3. Penggunaan bahan api meningkat – apabila enjin kehilangan kuasa, pecutan makin lemah kita akan mula menekan pedal minyak dengan lebih kuat. Hasilnya penggunaan petrol kereta anda semakin kuat. Pengalaman penulis pula enjin Vivafire guna petrol macam enjin 1300cc.
4. Bau asap – disebabkan gas ekzos tadi tidak dirawat dengan betul di dalam sistem ekzos, ia akan menghasilkan bau yang menyengat hidung macam bau disel atau petrol tidak terbakar dengan sempurna. Bau ini akan memasuki kereta namun yang paling bahaya ialah jika ekzos mengalami kebocoran gas karbon monoksida kerana gas ini tidak menghasilkan bau walaupun beracun.

5. Bunyi benda terseret – ini yang berlaku pada kereta penulis, ekzos yang patah menyebabkannya bergoyang-goyang setiap kali melalui bonggol jalan. Sehingga satu ketika ekzos tersebut terseret di atas bonggol menyebabkan penulis tahu memang ekzos kereta penulis menunggu masa untuk gugur dari kereta.
6. Bau Plastik terbakar – jika gas ekzos yang penas terlepas dari sistem dan mengenai resin, plastik atau komponen getah ia akan menghasilkan bau apabila komponen ini bereaksi dengan gas ekzos. Mungkin sebelum ini anda tidak pernah tercium bau hangit, namun selepas ekzos anda bocor atau rosak masalah ini akan terjadi
Sesetengah negara Eropah mewajibkan pemilik kereta untuk memeriksa sistem ekzos kenderaan mereka di pusat pemeriksaan bertauliah secara berkala bagi memastikan pelepasan asap ekzos sentiasa mematuhi piawaian alam sekitar. Setakat ini Malaysia masih tidak mengamalkan polisi sedemikian.