
MASERATI GRECALE GT HIBRID DEBUT DI MALAYSIA. 300HP/450NM, BERMULA RM598K
Pertama kali dilihat di Malaysia pada Jun 2022, hari ini Naza Italia melancarkan Maserati Grecale GT varian hibrid, yang tampil elegan serta menawarkan ciri terbaik.
Buat masa ini, hanya varian GT sahaja yang diperkenalkan terlebih dahulu manakala dua varian lagi iaitu Grecale Modena dan Grecale Trofeo bakal dilancarkan pada tahun ini untuk pasaran Malaysia.
Dibangunkan oleh Maserati Innovation Lab di Modena, Grecale baharu dihasilkan di kilang Cassino di Itali dengan dimensi yang besar, berukuran 4,846mm panjang, 1,670mm tinggi, 2,163mm lebar dan jarak roda pada 2,901mm.

Ini bermakna ia hampir sama dengan pesaing terdekatnya, Porsche Macan yang berukuran panjang 4,681mm, lebar 1,923mm dan tinggi 1,624mm.
Selain itu, ruang but belakang Maserati Grecale GT juga cukup besar, mempunyai kapasiti 535L.
Dari segi reka bentuk, Grecale membawa simbol visual baharu Maserati, yang memberikan perbezaaan bagi setiap model baharu sejak MC20.

Bahagian hadapan mempunyai gril yang rendah sementara profil pula menampilkan bentuk visual berliku-liku. Di bahagian belakang dipadankan lampu belakang bumerang diilhamkan oleh model Giugiaro 3200 GT dan kelihatan sesuai dengan garisan trapezoid.
Penampilan luaran dikemaskan lagi dengan rim aloi 19 atau 20 inci, bampar warna badan dan skirt sisi serta sisipan gril hadapan dalam ekzos krom.
Di bahagian kabin, ia menampilkan papan pemuka kulit yang diinspirasikan oleh kulit Saffiano, serta dikemaskan lagi dengan kilauan pada konsol tengah dan panel pintu.

Untuk versi GT, warna yang dipilih adalah hangat. Sebagai alternatif kepada Kulit Hitam, kulit premium dalam warna coklat dan greige atau hitam tebal dengan jahitan kontras tersedia sebagai pilihan.
Roda stereng dibaluti kulit dengan paddle shift aluminium. Berbanding sebelum ini, model baharu itu buat pertama kalinya, menggunakan jam digital.
Kabin Grecale ini dilengkapkan suis-suis digital serta tombol fizikal yang minima sementara kedudukan skrin infotainmen 12.3-inci berada di konsol tengah, manakala skrin 8.8-inci untuk instrumen di depan pemandu.

SUV ini juga hadir standard dengan system Maserati Intelligent Assistant (MIA) dan Maserati Connect. Audio pula disokong oleh system bunyi Sonus Faber 3D dengan tawaran 21 pembesar suara.
Penumpang belakang juga dilengkapi skrin sentuh sendiri pada hujung konsol tengah untuk kawalan penyaman udara.
Grecale didatangkan dengan Maserati Vehicle Dynamic Control (VDCM) serta pilihan mod pemanduan Comfort, GT, Sport, Corsa (Trofeo sahaja) dan Off-Road.
Grecale GT akan dikuasakan enjin empat silinder turbocas hibrid berkapasiti 2.0 liter yang menjana 300Hp dan tork 450Nm. SUV ini mempunyai daya pecutan 0-100km/j hanya mengambil masa selama 5.6 saat.
Maserati Grecale GT serba baharu dijual pada harga RM598,000 termasuk cukai dan duti dengan pilihan warna lu Intenso (biru metalik), Bianco Astro (kelabu metalik) atau Bianco (pepejal putih).
GALERI:

















- BACA: MASERATI CURI HILANG KAWALAN, REMAJA 15 TAHUN MENINGGAL
- BACA: MAHU HAPUS STEREOTAIP KERETA TAK BOLEH HARAP, MASERATI LANCAR JAMINAN 10 TAHUN UNTUK ENJIN DAN TRANSMISI
- BACA: MASERATI MC20 GT2, KEPULANGAN SEMULA JENAMA TRIDENT DALAM PERLUMBAAN GT2
- BACA: MASERATI PROJECT24 – MC20 VERSI KEGUNAAN LITAR, 740 HP, 62 UNIT SAHAJA






