Pandu Uji

MAZDA 2 2023, MASIH LAGI MELAWAN DAN BERNAFAS

Mazda 2 dan Mazda MX-5 ada persamaan tersendiri dimana kedua dua model ini berkongsi enjin yang sama iaitu enjin 1500cc 4 silinder SkyActiv G. Tapi bagi Mazda 2, kuasa enjin ini telah diturunkan daripada 129 kuasa kuda kepada 114 kuasa kuda.

Transmisi manual 6 kelajuan ditukar kepada transmisi automatik 6 kelajuan dan pacuan roda depan. Tapi berbeza dengan Miata yang hanya memuatkan 2 penumpang sahaja, Mazda 2 berupaya memuatkan sehingga 5 penumpang dalam satu masa.

Namun pada masa yang sama berat Mazda 2 sebenarnya tidak jauh berbeza dengan Miata dengan tambahan sekitar 58kg sahaja. Mazda 2 bermula sebagai Mazda Demio dengan rekaan berkotak sebelum ia digantikan dengan Mazda 2 yang menggunakan rekaan yang lebih moden

Dari segi saiz, model facelift ini masih sama seperti model sebelumnya dengan panjang mencecah 4349mm, lebar 1695mm dan jarak antara roda 2570mm. Hanya rekaan dan gayaan luar Mazda 2 sahaja berubah menjadi lebih “muda” berbanding dengan rekaan pada tahun 2020 dan 2014 dulu

Rekaan jeriji atas dikenakan dengan warna hitam dan warna krom berkilat turut diberikan kemasan warna hitam. Rekaan baru jeriji bawah turut memberikan imej yang berlainan pada Mazda 2. Turut menerima kemasan baru ialah rim 16 inci yang menggunakan rekaan 2 tona bagi imej yang baru

Mazda turut memperkenalkan warna baru yang dikenali dengan nama Air Stream Blue dan juga Polymetal Grey bagi facelift kedua ini. Bagi rekaan dalaman, bahagian papan pemuka, balutan kusyen dengan calitan merah dan panel pintu menerima kemasan kulit suede yang lebih sporti sama seperti Mazda CX-3

Corong penyaman udara disemat dengan kemasan berwarna merah selain skrin multimedia Mazda i-Connect menerima skrin bersaiz 8 inci yang lebih besar. Selain daripada itu, ciri pasif AutoCruise turut dipasang pada model ini menjadikan pemanduan lebih mudah dan selesa

Jika anda memandu Mazda 2, anda akan rasa pecutan yang ditawarkan adalah memadai dan cukup lincah. Apabila mencapai halaju tinggi, enjin ini akan terasa sedikit malas bagi mencapai penjimatan petrol pada 16km/liter.

Namun jika anda mahu pemanduan yang bersemangat, tekan butang “Sport” berdekatan tombol gear dan gunakan paddle shifter untuk mengawal gear. Mazda 2 akan berubah menjadi lebih liar dengan gear ditukar pada takat RPM yang leboih tinggi serta gear disentap setiap kali ditukar

Dari segi keselesaan, penulis dapat rasakan yang Mazda 2 ini sebenarnya lebih selesa dan lembut berbanding dengan model sebelumnya. Mazda 2 ini mencatatkan bacaan sekitar 68db kadar bunyi pada halaju 120km/jam dengan pemasangan beberapa bahan kedap bunyi di sekitar perumah tayar.

Walaupun menggunakan jenama dan model tayar yang sama, tayar yang baru terasa lebih lembut dan selesa berbanding dengan model tahun 2020. Namun dari segi dynamic pengendalian, ia masih kereta kompak yang sama dengan memberi penekanan terhadap pemanduan yang sporti.

Disebabkan menggunakan platform yang lama, Mazda 2 hanya menawarkan 2 beg udara sahaja dan tiada ciri keselamatan aktif. Model 2023 ini hanya ditambah dengan sensor yang akan menghidupkan lampu dan pengelap cermin secara automatik sahaja.

Namun dari segi harga, harga Mazda 2 sebenarnya telah bertambah sebanyak RM 5000 menjadi RM 108,670 namun tiada penambahan aksesori yang cukup banyak bagi memberikan justifikasi kenaikan harga tersebut. Harus diakui, nilai ringgit yang menjadi lemah adalah punca kepada kenaikan harga ini

Seperti biasa Mazda 2 ditawarkan dengan jaminan selama 5 tahun dan juga servis percuma sehingga 100,000km.

Google ads
Back to top button