Artikel Pilihan

SUBARU IMPREZA WRC 2004 - INI KISAH MENARIK TENTANGNYA

Subaru Impreza WRC yang dipaparkan ini bukanlah sembarangan jentera rali. Ini adalah model yang yang dipandu oleh Petter Solberg pada 5 September 2004 yang telah memenangi perlumbaan Rally Japan. Dan ianya adalah kemenangan WRC kelapan buat beliau dan yang ke 42 buat Subaru.

Model PRO-WRC 04008 ini adalah casis yang kelapan dibina oleh Prodrive untuk musim perlumbaan 2004 yang dikhususkan untuk Petter Solberg. Selepas tamat perlumbaan di Jepun, jentera ini telah dibawa pulang ke Prodrive di Banbury sebagai persediaan untuk perlumbaan di Australia pula.

Menariknya di Jepun, jentera ini berjaya mendahului perlumbaan serta berjaya memenangi 11 peringkat perlumbaan dengan meninggalkan Sebastian Loeb lebih dari satu minit.

Selepas tamat perlumbaan musim 2004, jentera tersebut telah dibina semula dan dijual kepada pasukan persendirian dengan nombor pendaftaran baharu UT53 SRT.

Namun selepas beberapa ketika dan bertukar pemilik, Prodrive kembali berpeluang untuk memiliki sebagai milikan persendirian pada tahun 2019 dan kembali menjalankan kerja baik pulih jentera tersebut seperti keadaan asalnya pada tahun 2004.

Untuk permulaan, Prodrive telah menanggalkan kesemua bahagian jentera ini bagi membolehkan kerja kerja balik dilakukan terhadap casis dengan mengukur dan diperiksa bagi memastikan ianya adalah model asli 2004. Mana – mana bahagian yang telah mengalami masalah telah diperbaiki secara dalaman oleh Prodrive sendiri.

Kemudiannya casis ini telah dihantar kepada syarikat yang mengecatnya pada tahun 2004 bagi mengekalkan keasliannya. Usai selesai, casis tersebut dibawa semula ke Prodrive bagi memulakan kerja – kerja pembinaan semula.

Untungnya, Prodrive masih mempunyai dokumen asal termasuklah spesifikasi bagi pembinaan jentera ini lama dahulu untuk kegunaan Petter Solberg. Jadi, segala ukuran dan tetapan meliputi bahagian suspensi, tempat duduk malah sehingga ke bahagian tempat penyimpanan botol air adalah mengikut tetapan pemandu legenda tersebut.

Setelah selesai kerja – kerja pembinaan semula jentera ini mengikut spesifikasi asal termasuklah sebuah telefon bimbit Nokia 6310 yang digunakan bagi menghubungi pasukan di Service Park, akhir sekali jentera ini telah pun dikenakan livery asal sewaktu perlumbaan di Jepun.

Nah, siap sudah akhirnya jentera rali. Nak bawa berlumba? Sayang oi. Mungkin tidak.

Khabar terakhir yang diterima, jentera ini telah dilelong pada tahun 2021 dengan harga £369,000 (RM2,160,135).

BACA : DIBIDA SEBANYAK 76 KALI.SUBARU IMPREZA 22B STI DIJUAL PADA HARGA RM1.29 JUTA

BACA : SUBARU IMPREZA WRC S12B NAK JUAL! – KERETA PETTER SOLBERG

Google ads

B K

Back to top button