Pandu Uji

MAZDA 6 2.5 TOURING, SPORTWAGON SPESIS TERANCAM

Satu ketika dulu kereta wagon merupakan model yang biasa dilihat dan dipandu di atas jalan raya selain daripada van, menjadi pilihan kepada peniaga kecil-kecilan untuk membawa barangan perniagaan mereka. Rekaan berkotak dan panjang membenarkan ia menawarkan ruang kargo yang besar berbanding sedan.

Jika kita lihat dengan teliti, kereta wagon sebenarnya adalah sebuah kereta sedan dengan bahagian bumbungnya dipanjangkan ke belakang dan menukar sebuah sedan 3 kotak menjadi sebuah kereta kompak 2 kotak tetapi lebih panjang.

Pada masa yang sama ia akan mewujudkan satu lagi tiang pada rekaan kereta dengan tiang D (sedan ada 3 tiang ABC sahaja). Namun evolusi kehendak pengguna menyaksikan rekaan wagon berubah dari rekaan berkotak-kotak menjadi rekaan yang lebih bergaya dan sporti.

Praktikaliti terpaksa dikorbankan demi gaya yang lebih menawan, kerana itulah kehendak pengguna sekarang. Sebagai contoh Mazda 6 2.5 Touring ini walaupun kelihatan panjang, ruang kargonya adalah sekitar 522 liter berbanding dengan sedan yang hanya ada 489 liter sahaja

Tetapi jika anda lipat kusyen bahagian beakang, Mazda 6 Touring ini menawarkan ruang sehingga 1648 liter ruang kargo. Dari segi saiz, varian Touring ini lebih panjang 65mm menjadi 4800mm dengan jarak antara roda dipendekkan sebanyak 80mm menjadi 2750mm.

Rekaan sebegini juga menjadikan berat Touring bertambah hampir 100kg berbanding dengan sedan. Hanya satu varian sahaja yang ditawarkan untuk varian Touring iaitu ia duduk di tengah-tengah antara varian sedan 2.0 dan sedan 2.5 20th Anniversary

Enjin 4 silinder 2500cc ini menjana sehingga 192 kuasa kuda dan 258Nm tork pada 4000 RPM. Sama seperti model Mazda yang lain, ia hanya dipautkan dengan transmisi 6 kelajuan automatik lengkap dengan mode Sport dan juga paddleshifter.

Kusyen di bahagian dalam dibalut dengan kulit kemasan burgendy yang berwarna merah berbanding dengan warna krim beige pada varian 20th Anniversary, memberikan imej sporti pada model Touring ini. Sksrin multimedia bersaiz 8 inci lengkap dengan sambungan Apple Car Play dan Android Auto.

Mazda 6 Touring juga menawarkan ciri tambahan seperti Head Up Display, sunroof, 4 poin USB, kusyen bantuan kuasa elektrik, dan meter analog dengan skrin 4.6 inci tetapi tiada ciri pengudaraan pada kusyen diberikan.

Ruang belakang pula terasa sedikit pendek disebabkan pengurangan jarak antara roda tadi, tetapi masih diberikan corong penyaman udara dan semua penumpang boleh menikmati bunyi 11 pembesar suara daripada jenama BOSE

Untuk penggunaan bahan api, Mazda 6 Touring masih memberikan bacaan bahan api yang bagus, 16km/liter dengan syarat anda memandu tidak melebihi 120km/jam walaupun bacaan rasmi adalah 14.2km/liter.

Tekan sahaja pedal minyak sehingga 5000-6000 RPM, ruang kabin dengan sengaja dipenuhi dengan deruman mekanikal enjin 4 silinder aspirasi normal. Tiada ciri noise feed atau bunyi yang dihasilkan secara sintetik oleh speaker. Semuanya asli termasuklah 2 corong ekzos di bahagian belakang

Bunyi ini akan bertambah kuat jika dipandu dalam Sport Mode, ditemani dengan sedikit sentapan yang dirasai pada bahagian kusyen semasa pedal ditekan dengan rakus serta setiap kali gear ditukar dengan paddle shift. Namu aksinya tidaklah seganas varian 2.2 turbodiesel

Tetapi jika dipandu dengan sopan santun, maka penukaran gear dibuat dengan cermat dan lembut. Dengan berat tambahan hampir 100kg, mungkin pecutan adalah agak kurang jika dibandingkan dengan varian 20th Anniversary.

Malah jika dipandu di jalan persekutuan yang berselekoh tidak rata, bahagian belakang terasa sedikit “wobble” walaupun menggunakan suspensi MultiLink. Tetapi jika anda memandu di lebuhraya pada halaju tinggi di selekoh yang panjang, ia akan memberikan cengkaman yang cukup memuaskan hati sehingga penulis berjaya memotong jentera buatan Jerman di permukaan jalan basah

Tapi untuk pemanduan di lebuh raya, varian Touring ini adalah jentera yang cukup selesa dengan gegaran dan getaran dikawal pada paras minima. Ia hanya mencatatkan bacaan sekitar 62dB sahaja pada kelajuan 110km/jam. Anda susah untuk merasa penat apabila memandu jarak jauh dengan Mazda 6 Touring ini

Varian ini juga lengkap dengan semua perkakasan keselamatan terkini seperti brek kecemasan depan dan belakang, Mazda Radar Cruise Control dengan ciri Stop & Go, Lane Departure Warning, Lane Keep Assist Control, lampu depan LED dengan ciri Adaptif, Blind Spot serta Driver Attention Alert

Cuma ada beberapa perkara yang kurang disukai oleh penulis seperti kamera 360 darjah tidak cukup jelas, ruang kaki untuk penumpang belakang yang sedikit sempit dan diameter genggaman stering yang tidak cukup besar (rasa kurus bila pegang stering).

Harga yang ditawarkan ialah sekitar RM 231,000 tidaklah murah tetapi jika dibandingkan dengan pesaing yang lain harganya masih lagi boleh ditelan terutama selepas ditawarkan dengan jaminan selama 5 tahun dan juga servis percuma dalam tempoh tersebut.

Sebagai perbandingan Volvo V60 ditawarkan dengan harga RM 322,00, Subaru WRX Wagon pada harga RM 285,000 dan Mini Cooper S Clubman pada RM 303,000. Betulkan harga RM 231,000 tue boleh diterima kan….

Google ads
Back to top button