Artikel Pilihan

MAZDA BAKAL LANCARKAN PROGRAM RESTORASI RX-7 FD – LANGKAH YANG SANGAT BIJAK

Mazda kini dalam perancangan untuk melancarkan program restorasi untuk model sports ikonik mereka – RX-7 FD. Butiran penuh belum diperolehi buat masa sekarang tetapi ia dikatakan menyamai program restorasi Mazda Roadster Restore yang pernah diperkenalkan pada tahun 2017.

Kalau benar bagai dikata program ini akan menyaksikan para juruteknik dan mekanik Mazda bertungkus lumus untuk membuka keseluruhan komponen kereta sebelum dijelmakan seperti sebuah kereta yang baharu saja keluar dari kilang.

Mazda dijangka akan membuat pengumuman rasmi tentang program ini di Mazda Fan Fiesta yang bakal diadakan di Okayama, Jepun pada 5-6 November akan datang. Di sana sebuah RX-7 yang sedang melalui proses restorasi akan dipertunjukkan kepada umum sebagai pengenalan kepada program tersebut.

Lima tahun lepas Mazda pernah membuat pengumuman yang serupa untuk Mazda Roadster/Miata. Malah program tersebut telah memenangi hadiah istimewa dari Automotive Researchers dan Journalists Conference of Japan. Bukan itu sahaja, ia turut mendorong Bridgestone untuk menghasilkan kembali tayar SF 325 asal untuk model tersebut.

Mazda menerima sejumlah 600 permohonan restorasi pada ketika itu tetapi restorasi pertama siap hampir setahun selepas itu. Menariknya program itu sendiri membuka mata Mazda untuk menghasilkan lebih banyak alat ganti untuk model Roadster.

Mazda sebenarnya sudah menghasilkan alat-alat ganti selepas jualan khusus untuk RX-7 FC dan FD sejak tahun 2020. Jadi dengan pelancaran program ini dijangka menyebabkan lebih banyak alat ganti dihasilkan untuk kereta sports kesayangan semua.

Google ads
Back to top button