Buletin

RANTAIAN BEKALAN KIAN PULIH, JUALAN PERODUA NAIK 5% PADA Q3 2022. MASIH ADA TUNGGAKAN PESANAN 200,000 UNIT

Jualan suku ketiga 2022 (3Q22) Perodua meningkat lima peratus kepada 69,011 unit berbanding 65,719 unit yang didaftarkan pada suku kedua 2022 berikutan rantaian bekalan automotif yang semakin baik.

“Peningkatan pendaftaran pada suku ini (3Q22), menunjukkan kebanyakan isu utama dalam rantaian bekalan automotif telah pulih. Kini tiba masanya untuk menambah baik pengeluaran kerana kami perlu mengurangkan tempoh menunggu pelanggan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

Bagi perbandingan suku-ke-suku, pendaftaran kenderaan melonjak sebanyak 216.5 peratus berikutan sekatan yang dikenakan antara Jun dan pertengahan Ogos tahun 2021 ke atas hampir semua aktiviti ekonomi bagi mengekang peningkatan kes Covid-19. Antara Julai dan September 2021, Perodua hanya menjual sebanyak 21,803 unit.

Setakat ini, jualan meningkat sebanyak 64.9 peratus kepada 196,354 unit dari Januari hingga September 2022, berbanding 119,093 unit untuk tempoh sama tahun lalu.

Bagi perbandingan bulan ke bulan pula, jumlah pendaftaran kenderaan Perodua sedikit susut iaitu 5.43 peratus kepada 24,626 unit pada September berbanding 26,039 unit pada Ogos 2022. 

Ini merupakan sebahagian daripada pelan Perodua untuk memaksimumkan pendaftaran kenderaan pada suku keempat tahun ini.

“Buat masa ini, kami memberi fokus untuk meningkatkan momentum ke suku keempat tahun ini. Selain memaksimumkan pengeluaran pada suku pertama tahun depan bagi memastikan semua pelanggan yang menempah kenderaan dalam tempoh pengecualian cukai jualan akan menerima kereta pada atau sebelum 31 Mac 2023,” kata Zainal.

Setakat 30 Jun 2022, jumlah tempahan tertunggak yang layak untuk pengecualian cukai jualan melebihi 200,000 pesanan.

Mengenai pengeluaran, Perodua telah mencapai pengeluaran bulanan tertinggi setakat tahun ini dengan 29,077 unit pada September. Manakala jumlah setakat tahun ini (Januari hingga September 2022) adalah 206,837 unit.

Google ads
Back to top button