Pandu Uji

MAZDA BT-50, TRAK PIKAP BERGAYA KODO & EFISYEN

Mazda sebenarnya sebuah syarikat yang unik, walaupun mereka adalah lebih kecil berbanding dengan syarikat Jepun yang lain. Malah mereka lebih kecil berbanding dengan syarikat automatif Korea. Tapi Mazda ada halatuju yang jelas iaitu menjadi sebuah jenama yang premium dengan menawarkan pelbagai jenis produk dalam satu masa.

Sebagai contohnya Mazda BT-50 yang kami uji pada minggu lepas datang dengan sejarah yang cukup panjang. Sebelum nama BT-50 diperkenalkan oleh Mazda, mereka ada sebuah lagi trak pikap yang sedikit kecil yang dikenali sebagai Mazda B-Series yang dihasilkan dalam 5 generasi.

Generasi pertama dihasilkan pada tahun 1961 dan generasi ke 5 berakhir pada tahun 2006 merupakan trak pikap yang dihasilkan oleh Mazda sepenuhnya tapi saiznya adalah kecil sedikit. Disebabkan hubungan perniagaan, Ford turut menggunakan platform generasi ke 5 sebagai Ford Ranger dari tahun 1998 hingga 2011.

Menjelang tahun 2006, situasi ini adalah terbalik apabila Ford memperkenalkan model Ranger dimana platform dan enjin trak pikap ini digunakan oleh Mazda bagi menghasilkan model BT-50 dalam 2 generasi bermula dari tahun 2006 sehinggalah pada tahun 2020.

Manakala model terbaru Mazda BT-50 ini adalah berasaskan daripada Isuzu D-Max generasi ke 3 termasuklah penggunaan platform, enjin dan juga transmisi. Bukan Mazda tak pandai buat trak pikap, tapi rasional di sebalik penggunaan Isuzu D-Max adalah “economy of scale“.

Seperti yang kami nyatakan tadi, Mazda adalah sebuah syarikat kecil dan adalah tidak masuk akal dari segi sudut pandangan perniagaan untuk membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk membangunkan sebuah trak pikap untuk dijual pada kuantiti yang sangat sikit.

Perniagaan menjual kereta bukanlah semudah menjual goreng pisang, hari ini jual hari ini untung. Regulasi pelepasan asap, aspek keselamatan, aksesori tambahan dan segala mak nenek aksesori yang dimahukan oleh pelanggan perlu diambil kira. Jalan terbaik ialah melalui proses “rebadge”.

Ambil sebuah trak pikap yang terbukti lasak, ubah sedikit rekaan bagi nampak lebih premium, masukkan rekaan Kodo dan letak logo Mazda. Hasilnya ialah sebuah trak pikap yang paling klasik, bergaya dan nampak mahal berjaya direalisasIkan oleh Mazda.

Malah Mazda juga berjaya mengintegrasikan rekaan Kodo dengan kemas sekali ke atas BT-50 bagi dari segi rekaan depan, sisi dan juga belakang. Dari depan anda akan nampak Mazda BT-50 persis sebuah SUV/crossover Mazda seperti CX-9, CX-8, CX-5 dan juga CX-30.

Tengok saja dari rekaan lampu projektor LED dengan DRL berbentuk gelang sekali imbas anda akan tahu ini ialah model Mazda. Jeriji besar pula digunakan di bahagian tengah yang menggabungkan jeriji atas dan bawah dalam satu unit serta elemen melintang.

Lampu kabus LED diposisikan di bahagian bawah bampar depan tanpa aksesori. Dari sisi pula terutama di bahagian pintu, Mazda bermain dengan elemen Kodo sama seperti Mazda 3 yang mengetengahkan penghasilan bayang-bayang dan juga cahaya.

Kalau diperhatikan di sini anda akan perasan Mazda BT-50 tidak try hard untuk nampak macho dan gagah. Ia tidak diberikan elemen pelindung tambahan lain untuk penutup enjin di bahagian bawah atau bampar direka seolah-olah dipasang dengan undercover dan juga tiada pelindung plastik di bahagian perumah tayar

Memasuki bahagian dalam kabin dan anda akan dapati Mazda berusaha mengubah rekaan dalam D-Max kepada rekaan Mazda walaupun terpaksa berkongsi parameter dan saiz yang sama. Rekaan Mazda adalah rekaannya yang tersendiri dengan penggunaan plastik berwarna hitam dan kemasan kulit berwarna coklat di bahagian papan pemuka

Kalau sekali imbas, kebanyakan pengguna akan nampak dan rasa bahagian dalaman kabin BT-50 adalah berlainan dengan D-Max. Malah beberapa perincian yang lain seperti rekaan meter dan roda stering juga adalah berbeza. Hanya tombol gear sahaja yang sama dengan D-Max

Begitu juga dengan rekaan kusyen dengan balutan kulit, walaupun 80% nampak sama dari segi bentuk dan profail permukaan kusyen, Mazda menggunakan balutan kulit yang lebih gelap, sama seperti yang digunakan pada kemasan pintu dan papan pemuka

Imej yang ditonjolkan oleh Mazda BT-50 ialah eksklusif dan elegen manakala Isuzu D-Max nampak lebih muda dan gagah. Persamaan yang paling besar ialah dari segi platform, kotak gear dan juga enjin pada kedua-dua model. BT-50 ditawarkan dalam 2 pilihan enjin samaada 1900cc atau 3000cc turbodiesel

Unit yang kami uji ialah varian 3000cc yang menjana 188 kuasa kuda dan 450Nm tork serta dipadan dengan transmisi 6 kelajuan. Anda boleh memilih untuk menggunakan sistem mode pemanduan samaada 4L, 4H atau 2H dengan menggunakan butang rotari.

Untuk pemanduan offroad mencabar, ciri menuruni bukit Hill Descent Assist dan ciri mengunci tayar belakang juga disediakan sama seperti D-Max. Pendek kata, Mazda BT-50 adalah sebuah pikap moden yang bergaya dan berupaya namun dengan gayaan lebih mewah daripada Mazda.

Tapi pada masa sama, BT-50 juga turut membawa beberapa ciri pikap trak yang kurang enak dirasai sepanjang pemanduan. Pertama, enjin 4JJ3-TCX ini menghasilkan derapan bunyi enjin diesel yang agak kuat walaupun anda sudah berada dalam kabin kenderaan.

Kedua, transmisi 6 kelajuan ini direka khusus untuk penjimatan bahan api jadi operasinya akan fokus pada penggunaan bahan api yang minima. Sebaik sahaja anda mula bergerak ke depan, unit transmisi ini akan menukar semua 6 gear ke depan dengan lembut dan lancar bagi memastikan kita sentiasa berada di gear paling tinggi.

Untuk rekod, kami telah memandu uji unit ini sejauh 580km untuk pemanduan jarak jauh dengan hanya menggunakan setengah tangki bahan api sahaja. Ketika Mazda BT-50 dipulangkan, ia masih lagi berbaki setengah tangki.

Walaupun penggunaan bahan api adalah rendah, tapi ia memberi gambaran yang salah tentang keupayaan enjin yang sebenar. 188 kuasa kuda dan 450Nm tork ini rasa biasa sahaja melainkan anda pandai menggunakan penukar gear manual yang disediakan.

Ride atau faktor keselesaan juga terasa agak keras jika dibandingkan dengan trak pikap milik penulis. Mungkin salah satu faktor yang menyumbang pada isu ini ialah penggunaan jenama tayar yang agak keras dan juga talaan spring dedaun belakang yang ditala untuk mengangkut muatan berat.

Selain daripada isu ini, Mazda BT-50 adalah sebuah trak pikap moden yang selesa untuk dipandu. Anda akan ditemani dengan 8 pembesar suara, kusyen yang selesa di bahagian depan, corong penyaman udara di belakang, sambungan Apple Car Play, Android Auto, unit multimedia skrin sesentuh 9 inci serta kunci dengan ciri penghidup enjin kawalan jauh

Bagi varian 3.0 High Plus AT yang diuji oleh kami, BT-50 datang dengan 7 beg keselamatan udara, Auto High Beam, Sistem Amaran Titik Buta, Lintasan Amaran belakang, Lane Departure Warning, Forward Collision Warning, brek AEB dan juga Adaptive Cruise Control.

Dengan harga penawaran RM 143,218 untuk varian tertinggi 3.0 High Plus AT, Mazda BT-50 diposisikan sebagai sebuah pikap trak bergaya pada harga yang kompetitif, 5 tahun jaminan pengeluar sehingga 100,000km

Google ads
Back to top button