
SUPERBIKE CFMOTO BAKAL DEBUT DI EICMA – ENJIN V4 1000CC
CFMOTO merupakan antara pengeluar motosikal dari China yang serius dalam meletakkan jenama mereka setaraf pengeluar berprestij.
Kerjasama dengan KTM termasuk di Kejuaraan Dunia Moto3 menjadi bukti komitmen yang ditonjolkan CFMOTO dalam mengukuhkan jenama itu di pentas antarabangsa.
Terbaru, CFMOTO mengesahkan bakal mendedahkan jentera terbaru di pameran motosikal terbesar dunia, EICMA 2024 yang akan berlangsung di Milan, Itali, November ini.

Meskipun tiada sebarang info didedahkan namun berdasarkan gambar ‘teaser’ yang dikongsikan jelas memaparkan muka depan yang agresif dengan kehadiran ‘winglet’ di bahagian kiri dan kanan. Kedudukan tayar yang rapat dengan bahagian lampu dan fender juga secara langsung membuktikan sebuah jentera sportsbike.
Dakwaan itu ada asasnya apatah lagi CFMOTO telah pun memfailkan paten enjin V4 1,000cc pada Jun 2022. Dokumen tersebut juga mendedahkan bahawa platform V4 itu akan menawarkan 204hp.
Lebih menarik, kami difahamkan platform V4 tersebut dibangunkan daripada jentera MotoGP KTM RC16 dengan CFMOTO berniat untuk mempertaruhkan jentera ‘superbike’ tersebut di Kejuaraan Dunia Superbike (WorldSBK).